Keputusan diketahui sebelum tengah malam

62

12 SEPT: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 dijangka diumumkan sebelum jam 12 tengah malam pada 26 September 2020.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah melantik 163 pemerhati pilihan raya terdiri daripada wakil 14 organisasi termasuk agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sembilan individu berkelayakan untuk memantau proses perjalanan PRN kali ini.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata SPR juga menyasarkan 75 peratus daripada kira-kira 1.1 juta pengundi berdaftar di Sabah akan keluar mengundi pada hari pengundian, 26 September ini.

Justeru, SPR memohon semua pihak khususnya media supaya memainkan peranan untuk menggalakkan pengundi keluar mengundi pada 26 September ini.

“Biarpun, Tawau dan Lahad Datu kini diletakkan dalam zon merah COVID-19 namun pengundi tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi kerana SPR sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Dalam PRN kali ini juga, kami mensasarkan peratusan keluar mengundi meningkat kepada 75 peratus berbanding 69 peratus sebelum ini,” katanya dalam sidang media di Kompleks Pentadbiran Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, khemah khas dengan bantuan petugas KKM akan disediakan sekiranya pengundi melebihi suhu badan ditetapkan dan bergejala.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, hari ini dilaporkan berkata, KKM akan meneliti keperluan kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang ke Semenanjung dari Sabah selepas urusan PRN Sabah.

Dr Adham berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.

Lahad Datu dan Tawau kini berada dalam zon merah kerana Kluster Benteng selepas berlaku jangkitan Covid-19 dalam kalangan tahanan lokap dan penjara membabitkan warga asing.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.