Jika rakan GRS setuju, Hajiji sedia jadi Ketua Menteri

168

12 SEPT: Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, menyerahkan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menentukan sama ada beliau layak atau tidak menjadi Ketua Menteri jika gabungan itu menang PRN Sabah pada 26 September ini.

Bagaimanapun Hajiji berkata apa yang penting sekarang adalah semua parti gabungan dalam GRS harus bersatu hati dan bekerja keras bagi memastikan kemenangan pada 26 September ini.

“Saya memang terkejut kerana perkara ini belum pernah dibincangkan tetapi jika betul saya bersedia menggalas tanggungjawab menjadi Ketua Menteri.

“Bagaimanapun ia hanya dapat direalisasikan jika perkara ini dipersetujui oleh parti komponen GRS termasuklah PN, BN dan PBS apabila kita meraih kemenangan nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penamaan calon diadakan di Dewan Seri Sulaman Tuaran, Kota Kinabalu di sini, sebentar tadi.

Hajiji berkata demikian ketika mengulas pengumuman dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bercadang mencalonkan namanya sebagai Ketua Menteri Sabah baharu jika GRS menang PRN, pada 26 September ini.

Pada majlis penamaan calon itu Hajiji diumumkan bakal berdepan dengan saingan tiga penjuru bagi merebut kerusi N12 Sulaman sempena PRN Sabah pada 26 September ini.

Dua lagi calon yang bertanding di DUN Sulaman ialah Datuk Ali Asgar Asri dari Parti Warisan Sabah dan Datuk Rekan Hussein (Parti Cinta Sabah)

Terdahulu, Hajiji berkata beliau tidak berasa gentar biarpun menghadapi saingan tiga penjuru bagi merebut kerusi N12 Sulaman, dalam PRN pada 26 September nanti.

“Rakyat Sabah perlu sedar bahawa hanya GRS yang selari dengan Kerajaan Persekutuan mampu meneruskan kesinambungan pembangunan infrastruktur dan membela nasib penduduk di negeri terbabit,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.