SPRM buka bilik gerakan PRN Sabah

86

11 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka bilik gerakan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah mulai hari ini hingga 30 September.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy berkata, bilik gerakan itu dilancar bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang PRN Sabah.

“Bilik gerakan operasi mula beroperasi hari ini sehingga 30 September membabitkan semua cawangan SPRM di Sabah iaitu SPRM Kota Kinabalu, cawangan Tawau, Lahad Datu, Sandakan dan Keningau dengan keanggotaan seramai 106 pegawai.

“Bilik gerakan ini beroperasi 24 jam bagi menerima sebarang maklumat dan aduan berkaitan kesalahan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang tempoh berkempen dan pilihan raya,” katanya melalui satu kenyataan di sini.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan supaya calon dan parti politik yang bertanding supaya tidak melakukan aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (pindaan 2012).

Bilik gerakan SPRM Sabah yang boleh dihubungi melalui talian 010-9436002 atau 088-488381 (Kota Kinabalu), 089-668746 atau 089-668496 (Sandakan) dan 089-772743 atau 7523005 (Tawau). – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.