SOP COVID-19 ketat semasa PRN Sabah

79

11 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengguna pakai Garis Panduan Pencegahan COVID-19 sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dilaksanakan dengan ketat.

Setiausahanya, Ikmalrudin Ishak berkata garis panduan itu akan digunakan di semua proses pilihan raya iaitu taklimat petugas, penamaan calon, proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan undi pos, semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi.

Menurut beliau, perkara utama yang diketengahkan adalah pematuhan kepada penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair sanitasi tangan, proses saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran bagi semua aktiviti serta proses yang berkaitan dengan pilihan raya.

“Proses penyerahan borang Kertas Penamaan akan berlangsung seperti mana proses penamaan calon sebelum ini namun semua calon tidak lagi dibenarkan berarak bersama para penyokong masing-masing atau mengadakan sebarang aktiviti berkumpulan.

“Hanya calon, seorang pencadang dan seorang penyokong calon, sahaja dibenarkan memasuki pusat penamaan calon,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Ikmalrudin memberitahu, bagi aktiviti ceramah, jumlah kehadiran peserta tidak boleh melebihi 250 orang pada satu-satu masa dan tempat, tertakluk kepada keluasan ruang, selain perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Aktiviti ziarah rumah pengundi pula, calon atau wakil tidak dibenarkan bersentuhan dan bersalaman dengan penghuni rumah, serta calon digalakkan memaksimumkan kaedah kempen menggunakan medium dalam talian atau melalui saluran media sosial.

“SPR melalui 73 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR), akan memantau semua aktiviti calon ketika berkempen, termasuk pematuhan terhadap garis panduan khas ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, pada hari mengundi, Ikmalrudin berkata semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, melalui proses saringan suhu badan dan menggunakan cecair sanitasi tangan, serta mengamalkan penjarakan fizikal.

“Cecair sanitasi tangan akan dibekalkan di semua pusat mengundi pada hari mengundi kelak. Pengundi perlu melalui penggunaan pensanitasi tangan di empat stesen dalam pusat mengundi, iaitu di pintu masuk pusat mengundi, di pintu masuk saluran, di dalam saluran (selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal iaitu sebelum menerima kertas undi) dan sebelum keluar dari pusat mengundi,” katanya.

Tambahnya, pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan, akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau pegawai kesihatan.

“Bagi individu yang diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian dan individu bergejala yang sedang dalam rawatan, mereka perlu memohon kebenaran daripada pegawai kesihatan daerah, untuk keluar sementara ke pusat mengundi.

“Bagi kehadiran di pusat penjumlahan rasmi undi, calon yang bertanding berserta penyokong calon yang menang, akan dibenarkan hadir dalam jumlah yang minimum,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.