Polis tahan 312 individu ingkar arahan PKP

19

11 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 312 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 267 individu dikompaun manakala 38 individu direman dan tujuh orang lagi dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (37), tidak memakai pelitup muka (23), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (143), aktiviti di dalam pub/kelab malam (70), warga asing tanpa dokumen perjalanan (7), premis beroperasi melebihi tempoh (1) dan disyaki menjalankan aktiviti pelacuran (31),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Berhubung Operasi Benteng semalam, beliau memberitahu, sebanyak 86 pendatang asing tanpa izin (PATI), seorang penyeludup dan seorang tekong ditahan.

“Di Pantai Sungai Rengit, Johor, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah berjaya menahan tiga PATI kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Sebanyak 82 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM (60 SJR), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (10 SJR) dan ATM (12 SJR).

Sementara itu, beliau berkata, sejak 24 Julai sehingga 10 September 2020, seramai 26,999 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 70 hotel dan lapan premis lain termasuk institut latihan awam (ILA) serta institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis, Labuan dan Kedah.

“Daripada jumlah itu, seramai 10,226 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 69 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 16,704 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, mereka telah pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, New Zealand, Amerika Syarikat dan Australia.

Semalam, pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 1,622 pemeriksaan khas Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sebanyak 1,607 premis didapati mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 15 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan 20 tapak binaan di seluruh negara semalam dan hasil pemeriksaan mendapati 19 tapak binaan mematuhi SOP yang telah ditetapkan manakala satu tapak binaan tidak patuh dan diberi amaran. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.