Pertembungan calon PN, BN selesai hari ini

197

11 SEPT: Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yakin isu pertembungan sesama sendiri antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) akan selesai sepenuhnya hari ini.

Beliau berkata, PN dan BN masih mempunyai masa yang agak panjang untuk mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan isu pertembungan sesama sendiri sebelum hari penamaan calon esok.

HAJIJI NOOR

“Kita mempunyai banyak masa lagi dan mudah-mudahan segala isu berbangkit berhubung pertembungan sesama sendiri akan dapat diselesaikan hari ini.

“Kita akan adakan pertemuan dan perbincangan hari ini bagi menyelesaikan isu terbabit. Kita akan bincangkan hari ini di kerusi tertentu. Insya-Allah, mudah-mudahan segalanya akan selesai hari ini.

“Saya yakin perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana proses mengisi borang pencalonan akan memakan masa tidak sampai lima minit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pertemuan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pemimpin parti komponen BN dan PN yang diadakan di sebuah hotel di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee pula mengesahkan isu pertindihan kerusi antara parti komponen BN dan PN dianggap selesai selepas pertemuan berkenaan.

Bekas Ketua Menteri Sabah berkenaan berkata, isu pertindihan kerusi tidak sepatutnya berlaku kerana sebelum ini semua pemimpin BN, PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) sudah mencapai kata sepakat mengenai pembahagian kerusi untuk PRN Sabah.

YONG TECK LEE

“Kalau semua ikut persetujuan asal memang tidak akan timbul masalah tetapi sekiranya ada satu dua kawasan berlaku pertembungan antara satu sama lain kita tidak boleh berbuat apa-apa.

“Perkara itu kena selesaikan sendiri masalah dalaman mereka kerana ini bukan masalah PN atau BN,” katanya yang memaklumkan mereka akan menggunakan logo PN untuk bertanding pada PRN, 26 September nanti.

Ditanya kenapa namanya tiada dalam senarai calon SAPP, Teck Lee berkata beliau tidak menghantar namanya kerana berasa masih muda dan boleh berbuat demikian lain kali. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.