Kerjasama korporat untuk biaya pendidikan tinggi

68

11 SEPT: Model pembiayaan pendidikan di peringkat pengajian tinggi perlu dipelbagaikan dengan kerjasama semua pihak terutama dalam aspek penajaan daripada sektor korporat, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah ini penting untuk membantu meningkatkan pelaburan modal insan dalam pengajian tinggi memandangkan keupayaan kerajaan adalah terhad kerana kos yang perlu dilaburkan adalah sangat tinggi.

“Kerjasama ini boleh diberikan dalam bentuk penajaan pendidikan mahupun peluang latihan industri, penyelidikan dan perkongsian kepakaran,” katanya menersui satu hantaran di Facebook beliau hari ini.

Perdana Menteri sebelum itu menghadiri Majlis Perjumpaan bersama Warga IPT Sabah di Universiti Malaysia Sabah dan menyampaikan Tawaran Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) Yayasan Tenaga Nasional Berhad.

Yang turut hadir Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah; Menteri Pertanian Dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Masidi Manjun.

Muhyiddin dalam hantaran itu turut melahirkan rasa bangga kerana semakin banyak sektor korporat yang mengiktiraf kepentingan ilmu pengetahuan kepada anak-anak muda.

“Perkara ini dapat dilihat melalui program-program pembiayaan pendidikan yang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dan inilah yang ingin saya tekankan.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Yayasan Tenaga Nasional yang telah bersetuju meneruskan program Dermasiswa My Brighter Future dan memberi komitmen untuk meneruskan penajaannya melalui Program MyBF kepada 2,500 orang pelajar baharu setiap tahun sehingga tahun 2022.

“Mewakili Kerajaan Malaysia, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada TNB atas komitmen yang diberikan untuk memastikan agenda pengajian tinggi negara terus terlaksana,” jelasnya.

Sementara itu, kata Muhyiddin, sektor pendidikan, baik pada peringkat pengajian tinggi, menengah, rendah mahupun pendidikan awal akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, ilmu pengetahuan adalah sangat penting untuk menentukan masa depan supaya lebih terjamin.

“Untuk itu, saya ingin menyatakan komitmen saya dan juga Kerajaan PN untuk memastikan pendidikan setiap anak-anak Malaysia tidak akan dibiarkan dan terlepas pandang.

“Kepada para penerima dermasiswa, gunakanlah sebaik-baiknya peluang ini untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya dan seterusnya membina keupayaan untuk mentransformasi diri dan keluarga ke arah kesejahteraan,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.