Keluar dewan, Shafie kata PKR ada urusan lain

117

11 SEPT: Pemimpin PKR yang keluar dewan pada majlis pengumuman calon Parti Warisan Sabah (Warisan) dan rakan sekutu semalam bukan kerana tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi yang menyaksikan parti itu hanya memperoleh tujuh sahaja kerusi.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sebaliknya Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew dan sekumpulan anggota PKR meninggalkan dewan itu kerana mempunyai urusan lain.

“Tidak benar, dia (Christina) hanya keluar kerana ada urusan lain,” katanya selepas mengadakan program ramah mesra bersama penduduk di Masjid Jamek Kampung Bantayan di Semporna hari ini.

Ketua Menteri kerajaan sementara Sabah itu diminta mengulas mengenai agihan kerusi kepada PKR yang hanya diberikan tujuh kerusi bagi PRN ini, separuh daripada jumlah yang diminta oleh parti itu.

Tujuh kerusi berkenaan ialah Matunggong, Tempasuk, Tamparuli, Inanam, Api-Api, Klias dan Sook.

Menerusi pengumuman calon semalam, Warisan mendapat 46 kerusi, UPKO (12 kerusi), DAP (tujuh kerusi), PKR (tujuh kerusi) dan Amanah (satu kerusi), menyaksikan mereka bertanding di kesemua 73 kerusi DUN Sabah.

Menurut Mohd Shafie, proses agihan kerusi seperti lazimnya bukan mudah tetapi apa yang diumumkan semalam berdasarkan rundingan bersama rakan sekutu seperti Amanah, DAP, PKR dan UPKO.

Katanya, beliau sendiri turut memantau dan menilai pelbagai aspek sebelum memutuskan untuk meletakkan calon parti bersesuaian di satu-satu kawasan.

“Kita buat secara konsensus,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.