Kaji kaitan banjir KL dengan projek pembangunan

52

11 SEPT: Kementerian Wilayah Persekutuan sedang mengkaji sama ada kejadian banjir kilat yang berlaku semalam mempunyai kaitan dengan pelbagai projek pembangunan yang dijalankan di sekitar ibu negara.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sedang mencari jalan penyelesaian jangka panjang bagi mencegah banjir kilat di Kuala Lumpur.

“Ada kemungkinan, maka kita kena kaji corak (kejadian) untuk membolehkan DBKL melihat pelan untuk jangka masa yang lebih panjang.

“Bukan sahaja untuk mengetahui sebab insiden pada hari ini sahaja, tetapi kita melihat penyelesaian yang lebih bersifat jangka panjang yang perlu kita teliti dan buat kajian,” katanya menerusi siaran Facebook Live ketika membuat lawatan ke pusat pemindahan banjir di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, malam tadi.

Beliau menambah, perkara itu perlu dipastikan kerana kerajaan sudah mengeluarkan perbelanjaan yang besar dalam menyelesaikan isu banjir yang dahulunya kerap berlaku di ibu negara.

“Kita nak pastikan kerana selama ini kita telah belanja berbilion ringgit untuk sistem penyuraian banjir, Terowong SMART dan sebagainya.

“Kita nak memastikan adakah sistem itu berfungsi dengan baik dan adakah ini menandakan sistem yang ada itu belum mencukupi ataupun kita yang mungkin lakukan kesilapan, mungkin tidak,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.