Jentera Pemuda Pas digerak bantu kempen PN

53

11 SEPT: Demi Sabah yang lebih baik, Pemuda Pas komited membantu rakan kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan parti lain yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, dalam hal ini Pemuda Pas mendukung keputusan parti memberi laluan kepada rakan-rakan parti lain untuk bertanding di semua 73 kerusi.

Katanya, kegagalan kerajaan-kerajaan sebelum ini, harus diperbaiki dengan kerajaan baru yang berjiwa rakyat, dan bersatu demi manfaat warga Sabah.

“Dengan rasa rendah diri, kami mengajak semua rakyat Sabah untuk bersama turun mengundi dalam pilihan raya ini demi masa depan Sabah yang lebih baik.

“Undilah calon yang mampu membuat perubahan demi warga Sabah. Ayuh corakkan kembali negeri ini menjadi sebuah negeri yang maju dan gemilang. Ini kalilah!,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pas terdahulu memaklumkan mereka memberi laluan kepada rakan parti lain yang mahu bertanding di 73 kerusi pada PRN Sabah demi menjaga muafakat yang terjalin.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aiman menyifatkan Pas berjiwa besar serta memahami kepentingan muafakat secara taktikal atas wadah yang sama iaitu PN.

Katanya, rakyat mengharap agar PN dapat menjadi contoh dalam toleransi kuasa politik atas kepentingan dan agenda bersama bagi mentadbir negara ini.

Ujar beliau, kunci di sini ialah diplomasi dan perkongsian berdasarkan realiti sosio-politik tempatan agar semua pihak merasakan semangat ‘kebersamaan’.

“Sesungguhnya simbol atau bendera yang dijunjung oleh Pas, Bersatu, STAR dan PBS untuk PRN Sabah adalah satu iaitu PN.

“Maka adalah benar kenyataan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki bahawa secara tersiratnya Pas bagaikan tetap bertanding di Sabah, iaitu melalui PN yang turut diwakili Pas.

“Maka diharap rakan-rakan komponen lain dalam PN terus berusaha mengukuhkan lagi kesefahaman, permuafakatan, kerjasama, perkongsian, toleransi dan saling hormat-menghormati antara kita semua agar sasaran untuk membebaskan Sabah dari proksi DAP serta pihak yang berfikiran kenegerian sempit dapat dicapai insya-Allah,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.