Jangan upah samseng ugut pengundi – PDRM

36

11 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan semua calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah agar tidak sesekali menggunakan samseng serta penjenayah untuk mengugut atau memaksa pengundi menyokong calon tertentu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata calon-calon juga dikehendaki mengingatkan para penyokong agar tidak melakukan vandalisme dan khianat terhadap poster atau bendera pihak lawan.

“Orang ramai diminta supaya tidak menyalahgunakan multimedia untuk menimbulkan isu sensitif seperti perkauman, agama dan berita palsu.

“Selain itu, tindakan provokasi serta menjatuhkan reputasi lawan harus dielakkan kerana ia boleh menimbulkan kekacauan serta ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Hazani mengingatkan semua calon parti, wakil parti dan orang awam sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung.

Menurut beliau, calon juga harus memohon permit daripada ketua polis daerah jika mahu mengadakan ceramah semasa tempoh berkempen dengan jumlah peserta tidak lebih dari 250 orang.

“Ketika proses penamaan calon, hanya tiga orang saja dibenarkan masuk ke pusat penamaan calin bagi mengemukakan dokumen penamaan calon iaitu calon, pencadang dan penyokong.

“Begitu juga aktiviti berarak dan berkumpul oleh penyokong parti tidak dibenarkan sama sekali di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon,” katanya.

Beliau menambah, memandangkan pandemik COVID-19 terutama di Sabah sedang meningkat naik maka diingatkan lagi semua rakyat negeri ini supaya mematuhi undang-undang, SOP dan arahan semasa dari PDRM dan Kementerian Kesihatan sepanjang proses PRN berlangsung.

“Orang ramai perlu mengambil perhatian terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuatkuasa.

“Namun demikian, PDRM amat mengalakkan calon parti yang bertanding dalam PRN Sabah supaya menggunakan aplikasi sosial sepeti Facebook, Instagram, Youtube, WhatsApp dan lain-lain aplikasi media massa dan media cetak untuk menyampaikan kempen,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.