Buat pilihan bijak, jangan ‘pisang berbuah dua kali’

45

11 SEPT: Rakyat Sabah perlu bijak membuat percaturan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bagi mengelak mereka daripada mengalami penderitaan dan penyeksaan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan rakyat Sabah sepatutnya sudah sedar selepas hidup terseksa di bawah pentadbiran kerajaan Warisan dan Pakatan Harapan (PH) diketuai oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Berikutan itu, Ahmad Zahid berkata, rakyat Sabah harus bijak memilih apabila tiba masanya nanti supaya nasib mereka terbela dan menjadi lebih baik selepas hari pengundian, pada 26 September ini.

“Dua tahun terseksa… apa yang kita lihat sepanjang dua tahun jadi pembangkang? Adakah kerajaan sekarang peduli kepada kita? Adakah jalan Pan Borneo diteruskan? Adakah bantuan orang miskin diteruskan? Tidak mengapa, ini ujian.

“Nanti bila sudah ada Ketua Menteri baru, saya percaya beliau akan jadikan Sabah cemerlang semula,” kata Ahmad Zahid dalam perjumpaan bersama jentera di Parlimen Libaran, petang tadi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid juga berkata, tindakan UMNO hanya bertanding 32 kerusi adalah atas kesefahaman yang dicapai menerusi gabungan parti dalam BN dan Muafakat Nasional (MN).

“Kita tidak tamak macam ada parti itu tapi insya-Allah kita mampu menang semua kerusi itu.

“Tapi untuk menang kena ada usaha. Jadi, saya berharap semua pihak berilah kerjasama yang baik kepada Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin. Ada sebab kenapa kita pilih beliau sebagai Pengerusi dan Ketua UMNO Sabah, kerana beliau seorang pemimpin yang taat kepada UMNO.

“Walaupun beliau ditekan, difitnah dan dihina, beliau tidak pernah lari. Inilah kebanggaan kita di Sabah. Kerana itu jugalah kita jangan tinggalkan beliau keseorangan. Bung tidak akan berjaya tanpa ADUN, Wanita, Pemuda, Puteri dan semua, untuk kuatkan pemimpin, kena ada pengikut dan sebagaimana Bung setia kepada UMNO, begitulah kita setia kepada beliau,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.