BN, PN, PBS capai konsensus elak pertembungan

90

18 SEPT: Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) secara konsensus bersetuju mengelakkan pertembungan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau gembira kerana pertemuan antara pemimpin BN dan PN bagi menghadapi PRN Sabah berlangsung dalam keadaan mesra.

Malah, beliau berkata, semua parti komponen BN dan PN secara konsensus bersetuju untuk mewujudkan solidariti dan bekerjasama bagi memastikan mereka mampu merampas kembali Sabah daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Kita juga bersetuju untuk mengelakkan berlakunya pertembungan sesama sendiri pada PRN nanti bagi memastikan kita memperoleh kemenangan dalam PRN nanti, walaupun mengikut pengumuman semalam memang wujud pertembungan sesama sendiri.

“Saya percaya isu pertembungan sesama sendiri ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin hari ini kerana esok adalah Hari Penamaan Calon bagi PRN Sabah,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat pemimpin BN dan PN dipengerusikan oleh Perdana Menteri merangkap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sebuah hotel di Kota Kinabalu, hari ini.

Ahmad Zahid menambah, gabungan parti juga bersetuju untuk mewujudkan Aku Janji gabungan parti yang akan dilancarkan pada sambutan Hari Malaysia, 16 September ini.

Menurut beliau, Aku Janji itu akan merangkumi tawaran yang akan diberikan kepada rakyat Sabah dalam PRN Sabah.

“Aku Janji ini akan dilancarkan di Kota Kinabalu nanti yang akan memberikan tawaran baharu kepada rakyat Sabah,” jelasnya.

Tambah Ahmad Zahid, berkata mesyuarat berkenaan juga turut membincangkan mengenai koordinasi gerak kerja yang akan digunakan dalam PRN Sabah kali ini.

Beliau berkata, koordinasi gerak kerja ini penting untuk memastikan jentera akar umbi dapat digunakan sebaik mungkin sepanjang kempen.

“Ada pemimpin parti yang mengetuai gerak kerja turut bertanding jadi mereka mungkin tidak cukup masa untuk berkempen.

“Jadi koordinasi gerak kerja ini penting untuk memastikan kempen berjalan lancar,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.