“Bantu Abah pilih parti sealiran kerajaan Persekutuan” – PM

114

11 SEPT: Rakyat Sabah perlu membuat keputusan tepat pada 26 September bagi memastikan kesinambungan pembangunan ekonomi dan infrastruktur dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengundi Sabah perlu membantu beliau selaku ‘Abah’ kepada semua rakyat Malaysia untuk mengubah kerajaan negeri yang kini dikuasai oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Boleh saudara saudari dan penduduk Sabah bantu saya selaku Abah kepada semua rakyat Malaysia untuk tentukan kerajaan Warisan sekarang diubah kepada PN dan rakan lain pada 26 September ini (disambut dengan sorakan ‘boleh’ penduduk PPR Seri Keramat Putatan)

“Rakyat Sabah tentu paham jika kita mempunyai hubungan rapat dengan Kerajaan Persekutuan maka lebih banyak bantuan akan disalurkan,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Keramat Putatan di Kota Kinabalu di sini sebentar tadi.

Justeru, Perdana Menteri memberi jaminan Kerajaan Persekutuan bersedia untuk menyalurkan peruntukan kepada kerajaan negeri untuk pembangunan pelbagai kemudahan asas seperti tenaga elektrik, bekalan air bersih, jalan raya, sekolah dan klinik kesihatan jika rakyat Sabah membantu beliau mengubah pentadbiran negeri pada 26 September ini.

Muhyiddin berkata beliau juga memberikan jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan akan membina lebih banyak rumah PPR di Sabah untuk penduduk miskin jika kerajaan negeri bertukar tangan.

“Rakyat Malaysia terutama di Sabah supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menjaga jarak fizikal sepanjang tempoh PRN kerana kita belum menang melawan COVID-19.

“Tambahan pula kadar kes harian COVID-19 kini kembali meningkatkan sejak kebelangan ini (sehingga mencecah 198 kes hari ini),” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.