AMK Sabah kecewa Warisan bolot banyak kerusi

316

11 SEPT: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah meluahkan perasaan kecewa dan mempersoalkan tindakan Parti Warisan Sabah (Warisan) meletakkan calon di kerusi ditandingi sekutunya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 26 September ini.

Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin berkata, pihaknya kecewa dan kesal dengan tindakan Warisan dipimpin Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal yang melanggar aku janji dengan meletak calonnya di kawasan sekutunya dalam Warisan Plus.

RAZEEF RAKIMIN

“PKR sebelum ini mengumumkan untuk bertanding 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Matunggong, Pintasan, Tempasuk, Tamparuli, Inanam, Api-Api, Petagas, Limbahau, Membakut, Klias, Kemabong, Sook, Sungai Manila dan Segama.

“PKR juga akan mengumumkan untuk menggunakan logo PKR sendiri namun bersama dalam Warisan Plus bagi mempertahankan kerajaan negeri.

“Namun semalam, Warisan mengumumkan bertanding di Pintasan, Petagas, Limbahau, Membakut, Sungai Manila dan Segama manakala kerusi Kemabong diserahkan kepada Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

“Di sini saya ingin mempersoalkan di mana semangat kesatuan yang sering dilaungkan Shafie (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) apabila dengan jelas melanggar kerusi rakan dalam pakatan?” soalnya dalam kenyataan media.

Razeef menambah, beliau juga terkilan apabila rakan komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP tidak mendapat tempat selayaknya walaupun mereka banyak mengorbankan beberapa perkara untuk mendapat perhatian Presiden Warisan, Mohd Shafie.

Beliau mendakwa, antara perkara yang sanggup mereka lakukan adalah menolak calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) sebaliknya menyokong calon lain yang dicadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu Mohd Shafie sendiri.

“Terkini, DAP dan PAN sanggup memilih menggunakan logo Warisan sekali gus mengetepikan logo mereka dan logo PH, walaupun UPKO menggunakan logo sendiri atas dasar prinsip serta hormat kepada organisasi.

“Namun, apa yang berlaku PAN cuma diberi ruang bertanding satu kerusi iaitu Tanjung Keramat serta terlepas beberapa kerusi berpotensi antaranya Pitas dan Sekong, manakala beberapa kerusi potensi DAP dirampas Warisan antaranya DUN Tulid serta beberapa DUN berpotensi buat DAP, ” katanya.

Razeef tidak menolak kemungkinan penyokong-penyokong Warisan Plus akan melakukan undi protes kerana kecewa dengan layanan yang diberikan terhadap parti-parti mereka.

Semalam, Mohd Shafie mengumumkan Warisan, DAP, UPKO dan PAN akan bertanding di 66 kerusi manakala bakinya untuk PKR.

Warisan memboloit 46 kerusi diikuti UPKO (12), DAP (7), PKR (7) dan PAN (1). – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.