2 tuduhan rasuah baharu terhadap Guan Eng

70

11 SEPT: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng, 59, didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri Pulau Pinang iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Bekas Menteri Kewangan itu juga dituduh menyebabkan Pendaftar Hakmilik Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Bagan itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan terhadap tertuduhndikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Francine Cheryl Rajendram, sementara Guan Eng diwakili peguam Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, RSN Rayer dan A Sivanesan.

Itu merupakan pertuduhan terakhir terhadap Guan Eng berkaitan skandal projek terowong dasar laut yang menjadi perhatian rakyat sejak beberapa tahun lalu.

Guan Eng juga sedang berdepan tiga lagi pertuduhan rasuah yang didakwa berlaku semasa beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pada 7 Ogos lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Mengikut pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul yang dilantik untuk melaksanakan projek tersebut.

Seterusnya, pada 10 Ogos, bekas Menteri Kewangan itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima wang suapan berjumlah RM3.3 juta bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Walau bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari.

Rasuah itu didakwa sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6,341,383,702.

Pada 11 Ogos pula, Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan rasuah.

Guan Eng, 60, dan Li Koon, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari.

Guan Eng didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), telah menggunakan kedudukan untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya, Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 yang Betty secara tidak langsung mempunyai kepentingan.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, di George Town, Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.