PRN Sabah: Pesakit COVID-19 dilarang mengundi

91

10 SEPT: Individu yang positif COVID-19 tidak akan dibenarkan keluar hospital untuk mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini kerana berisiko menjangkiti orang ramai.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengundi yang berstatus pesakit dalam siasatan (PUI) dan individu bawah pemantauan (PUS) yang berhasrat untuk mengundi perlu memohon kebenaran terlebih dahulu daripada pegawai kesihatan daerah.

“Bagi pengundi yang bergejala seperti suhu melebihi 37.5 darjah Celsius, batuk, sakit tekak atau sesak nafas, mereka akan diasingkan daripada pengundi-pengundi lain dan akan mengundi di khemah khas,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Menurut beliau, sepanjang tempoh kempen, bilik gerakan dibenarkan beroperasi dengan syarat berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Ismail Sabri memberitahu, ceramah dibenarkan sewaktu tempoh kempen tetapi perlu memastikan penjarakan fizikal terjaga dan mengikut kapasiti tempat.

“Pada hari mengundi, prosedur operasi standard (SOP) yang tersedia akan diguna pakai seperti saringan suhu badan dan kawalan kehadiran pengundi untuk memastikan penjarakan fizikal terpelihara.

Cecair pembasmi kuman juga akan disediakan di khemah saringan, pintu masuk saluran dan pintu keluar pusat mengundi.

Sementara itu, beliau berkata, Sambutan Hari Malaysia 2020 pada 16 September 2020 di Stadium Tertutup Sibu, Sarawak hanya dihadkan kepada 500 jemputan sahaja.

Waktu operasi perniagaan termasuk untuk kedai makan dan kedai serbaneka yang sebelum ini dihadkan sehingga jam 12 tengah malam kini dilanjutkan sehingga jam 2 pagi.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 198 individu semalam atas kesalahan ingar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan daripada jumlah itu, 23 individu direman manakala 175 individu dikompaun.

Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (86), gagal merekod butiran pelanggan (19), aktiviti dalam pub/kelab malam (62), lari dari pusat kuarantin (1), parti peribadi (13) dan tidak memakai pelitup muka (17).

Operasi Benteng semalam pula berjaya menjalankan 20 kes tangkapan yang melibatkan seorang tekong, 41 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tiga penyeludup. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.