PN, BN bersatu tamatkan riwayat Warisan

559

10 SEPT: Semua penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO perlu bersatu hati dan bekerjasama untuk memastikan kemenangan bergaya dan berjaya membentuk kerajaan Sabah yang baharu selepas 26 September ini kerana mereka adalah dari spesies yang sama.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, misi utama pemimpin dan ahli Bersatu, BN serta parti komponen Perikatan Nasional (PN) lain adalah untuk bekerja keras dan memberikan sokongan padu bagi memastikan semua calon menang bergaya dalam PRN kali ini.

Malah, Hajiji berkata, mereka perlu berbuat demikian kerana peluang keemasan untuk merampas kembali pentadbiran kerajaan negeri Sabah daripada pimpinan Parti Warisan Sabah diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hanya datang sekali seumur hidup.

Hajiji berucap pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin-pemimpin BN dan PN di Kota Kinabalu, hari ini.

Berikutan itu, beliau berharap semua pemimpin BN dan Bersatu Sabah melupakan permusuhan dan persengketaan lama kerana mereka adalah daripada ‘spesies’ dan asal usul sama.

“Jangan ada lagi perkara-perkara seperti rasa tidak senang hati dan dengki, kerana kita perlu lihat PRN ini adalah satu peluang keemasan untuk meraih kemenangan lebih besar dan membentuk kerajaan baharu di Sabah yang sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.

“Cukup-cukuplah tuan puan kerana keadaan ekonomi dan pembangunan negeri Sabah amat mundur di bawah pentadbiran Parti Warisan Sabah (Warisan) selama lebih dua tahun ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin-pemimpin BN dan PN di Kota Kinabalu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, beliau berasa sedih dan kecewa kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah menjunam dari 8.5 peratus (sebelum PRU-14) kepada 1.5 peratus dan seterusnya 0.5 peratus sekarang kerana kelemahan pentadbiran dan pemerintah kerajaan negeri diketuai oleh Warisan.

“Kita tidak mahu ini berlaku lagi di Sabah. Jadi ini peluang keemasan bagi rakyat Sabah untuk menukar kerajaan di mana saja BN dan PN sahajalah yang mampu menjamin kesinambungan pembangunan diteruskan seperti dulu,” jelasnya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.