Musa tak mohon jadi calon – Bung Moktar

398

10 SEPT: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman tidak tersenarai sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung pada 26 September ini kerana beliau tidak memohon menjadi calon.

Berikutan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menjelaskan, beliau tidak menyenaraikan nama Musa dalam PRN kali ini.

Beliau yang juga Pengerusi BN Sabah juga mengesahkan bahawa Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan juga tidak tersenarai sebagai calon BN dalam PRN kali ini.

bung moktar
Bung Moktar dan hadirin pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin-pemimpin BN dan PN di Kota Kinabalu, hari ini.

“Sebenarnya Musa tidak pernah memohon untuk menjadi calon BN dan tidak juga menawarkan kepada beliau untuk menjadi calon.

“Walau apapun kita menghormati semua pemimpin termasuklah Musa,” katanya ditanya pemberita mengenai spekulasi Musa akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila pada PRN Sabah dalam sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.

Semalam, media melaporkan Musa memuat naik hantaran ‘I’m going back to Sungai Manila” (Saya akan kembali ke Sungai Manila)’ dalam laman Facebook miliknya sehingga menjadi tular.

Terdahulu, Bung Moktar mengumumkan UMNO Sabah akan meletakkan di 31 daripada 73 kerusi DUN Sabah pada PRN kali ini dengan 95 peratus darinya ialah muka baharu termasuk dua calon wanita.

Beliau juga yakin bahawa semua calon BN diumumkan hari ini mampu membantu kemenangan PN dan BN pada 26 September nanti kerana mereka adalah pilihan rakyat dan majoriti adalah orang tempatan.

Dalam pada itu, Bung Moktar menasihatkan semua penyokong BN dan PN supaya tahu misi sebenar mereka adalah untuk merampas kembali kerajaan negeri Sabah daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Kalau kita mahu menang, jentera BN dan PN perlu bekerja keras buat seperti mahu menang… jangan jadi macam ayam mati. Jadi ayuhlah semua pemimpin dan penyokong BN, PN kita tumbangkan Warisan dan bentuk kerajaan baharu tidak kira siapa bakal jadi Ketua Menteri Sabah baharu,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.