Mengapa beri peluang pemilik kilang haram?

43

Tempoh hari saya mengesyorkan untuk tidak mempolitikkan isu air kerana masing-masing agensi negeri dan persekutuan ada tanggungjawab. Dan rakyat tidak berminat untuk bermain ‘game’, siapa salah siapa betul. Mereka hanya mahukan penyelesaian.

Cuma, kenyataan Menteri Besar Selangor semalam menimbulkan kekhuatiran adakah kerajaan negeri serius mahu mencari jalan penyelesaian. Petikan berita melaporkan bahawa kerajaan negeri Selangor memberi peluang kepada pemilik tanah dan kilang haram untuk membuat proses pemutihan sehingga hujung tahun ini.

Selepas krisis bekalan air yang baru sahaja ke arah kembali ke normal, mengapa perlu tunggu sehingga hujung tahun? Setelah perit yang dilalui, mengapa tidak tindakan tegas diambil sekarang? Ini bukan kes penjaja kecil yang hendak cuba dibantu ke arah pemutihan atas pertimbangan ehsan dan membantu ekonomi mikro penjaja. Ini kilang-kilang. Kilang haram. Yang mana dalam kalangan mereka mencemar sungai dan mengganggu bekalan air, menyebabkan pelbagai kesusahan dan kerugian kepada rakyat.

Lebih mengejutkan lagi, kenyataan Menteri Besar, “Kami sudah beri tawaran untuk mereka (pemilik tanah dan kilang haram) pulihkan (jalankan proses pemutihan) sejak tahun 2008 lagi. Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terakhir pada 2018 memutuskan agar tindakan itu dipanjangkan sehingga 2020. Lepas 2020 kami akan ambil tindakan perobohan dan sebagainya.”

Sejak 2008?? Sudah 12 tahun, dan sudah berkali-kali krisis air di Selangor – Kerajaan negeri yang ada kuasa untuk mengambil tindakan, masih mahu beri peluang sehingga tamat 2020?

“Tetapi kalau keadaan mendesak dan saya rasa kami boleh laksanakan lebih pantas menjelang bulan November atau Disember ini, ataupun awal tahun depan kami sendiri akan laksanakan secara menyeluruh proses pemutihan tersebut,” katanya.

Kalau keadaan mendesak?? 1.2 juta akaun pengguna air terkesan teruk hanya beberapa hari lalu disebabkan akitiviti kilang yang tidak dipantau, walaupun ada sejarah pencemaran. Tak cukupkah bukti betapa mendesaknya isu pencemaran dan gangguan ini??

Rakyat mahukan tindakan. Kerajaan negeri ada banyak kuasa sepertimana yang disebut dalam posting sebelum ini. Jangan tunggu ada krisis sekali lagi baru nak kelam-kabut. Sudah 12 tahun diberi peluang kepada kilang haram. Hendak bagi berapa tahun lagi?

SHAHRIL SUFIAN HAMDAN
Ketua Penerangan UMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.