Kuala Lumpur dilanda banjir kilat

193

10 SEPT: Hujan lebat lebih dua jam sejak jam 2 petang tadi mengakibatkan beberapa kawasan di ibu negara dilanda banjir kilat.

Antara kawasan terjejas termasuk Masjid Jamek dan sekitar Lebuh Ampang, Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Jalan Semarak, Lorong Ayer Leleh 5 dan Jalan San Ah Wing, Kampung Semarak.

Terdapat jalan utama yang dinaiki air menyebabkan beberapa kenderaan ditenggelami air dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Jurucakap Bahagian Operasi Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima tiga panggilan kecemasan antara 4.25 hingga 5.26 petang.

“Lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Titiwangsa, Jalan Tun Razak, Setapak dan Keramat membabitkan 17 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi.

“Pemantauan dilakukan di Lebuh Ampang mendapati banjir kilat setinggi 1.5 meter namun tiada mangsa terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, banjir kilat setinggi satu meter turut dilaporkan berlaku di Jalan Raja Alang, Kampung Baru dan Jalan Gurney Kiri Off Jalan Semarak.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dan mangsa yang terbabit di dua lokasi berkenaan.

“Anggota masih membuat pemantauan keadaan di lokasi banjir dan memastikan keselamatan orang awam,” katanya.

Gambar-gambar banjir kilat di sekitar pusat bandar raya dikongsi ramai di media sosial hari ini dan menjadi tular apabila bangunan ikonik antaranya Masjid Jamek turut dinaiki air.

Pada Julai lalu, banjir kilat dan ribut turut melanda ibu negara dengan beberapa kawasan di Kepong menyaksikan banyak pokok tumbang.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa meninjau kawasan sekiatr Lebuh Ampang dan Masjid Jamek sebentar tadi.

Dalam laman Twitter beliau, Annuar memuat naik gambar tinjauan beliau termasuk bertanya khabar dengan golongan gelandangan.

“Agensi berkait diminta segera memantau dan membuat lapuran. Semoga tiada kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.