Isu Veveonah: Zahidi minta maaf dalam Dewan Negara

126

10 SEPT: Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menzahirkan permohonan maaf secara rasmi dalam Dewan Negara dan mengakui kekhilafan berhubung kenyataannya mengenai penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin.

Beliau memberitahu, apa yang diluahkan oleh Veveonah merupakan kelemahan capaian internet di Kampung Sipatalang yang sememangnya memerlukan perhatian yang teliti daripada kerajaan.

“Saya ingin memohon maaf dengan keizinan Tuan Yang Dipertua untuk membuat permohonan itu di dewan yang mulia ini kerana telah menimbulkan kekeliruan dalam hal adik Veveonah ini. Maaf juga kerana maklumat daripada wakil rakyat kawasan menyebabkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.

“Perjuangan adik Veveonah ini menunjukkan bahawa terdapat kekekurangan liputan di kawasan luar bandar adalah perjuangan yang patut dipuji. Saya mengambil tanggungjawab ini sepenuhnya dan kerajaan bersetuju bahawa isu ini adalah isu pencapaian internet di pedalaman Sabah yang harus diberi perhatian dan ditangani sebaik mungkin,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

Zahidi menambah, hasil tinjauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Kampung Sipatalang pada 15 Jun 2020 mendapati hanya terdapat sebuah menara telekomunikasi yang memberi liputan 3G dalam lingkungan 1.4 kilometer dari Kampung Sipatalang.

Namun, beliau menambah, TM Sabah telah mengambil langkah drastik dengan menaik taraf kelajuan internet di Pusat Internet Kampung Pinggan-Pinggan, Pitas, Sabah menggunakan sambungan gentian fiber 300Mbps yang merupakan kampung Veveonah bagi memenuhi permintaan komuniti di situ dan kawasan sekitarnya.

“Dua kampung, satu di kampung yang dia tinggal, satu lagi di kampung yang berlakunya isu tersebut kita perbaiki dan kita kuatkan liputan di kawasan tersebut yang menunjukkan kerajaan mengambil peduli dan kita menyelesaikan isu tersebut.

“Kedudukan kampung ini adalah di kawasan pedalaman yang cukup memberi cabaran dari segi penyambungan kabel fiber dan penyelenggaraan namun kita akan sentiasa memantapkan kualiti dan perkhidmatan pencapaian internet di seluruh negara,” katanya.

Sehubungan itu, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sr Dr Rais Yatim berpandangan, tiada keperluan untuk merujuk kenyataan terdahulu oleh Zahidi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen memandangkan beliau telah meminta maaf. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.