Wujud garis panduan cegah hina Jalur Gemilang

98

9 OGOS: Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Lee Tian Sing menggesa agar kerajaan mewujudkan garis panduan yang khusus bagi mengelakkan Jalur Gemilang dan Jata Negara daripada dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, dengan adanya garisan panduan terbabit, semua pihak dapat mengetahui dengan lebih jelas terhadap aspek penggunaan Jalur Gemilang dan Jata Negara yang perlu dilaksanakan segera oleh kerajaan.

Menurut Tian Sing, tindakan ini akan mampu memberi pengajaran kepada masyarakat untuk tidak mewujudkan keadaan tidak harmoni seperti menghina Jalur Gemilang dan Jata Negara apabila mereka berasa tidak puas akan sesuatu.

“Setelah 63 tahun merdeka, saya yakin perkara-perkara sedemikian tidak patut berlaku dan sebagai rakyat cintakan tanah air. Kita kecam mana-mana pihak yang melaga-lagakan kita dengan api sentiment perkauan.

“Sehubungan itu, saya ingin dapat penjelasan pihak kementerian sejauh manakah penguatkuasaan undang-undang terkini berjaya dilaksanakan terhadap mereka yang tidak menghormati dan tidak patriotik terhadap negara ini.

“Seterusnya sejauh mana kerajaan dapat sediakan satu garis sempadan khususnya untuk elakkan manipulasi penggunaan simbol atau lambang rasmi negara sebagai persembahan seni memandangkan ianya adalah jati diri negara yang perlu dihormati dan dipertahankan oleh warganegara,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

Tian Sing menambah, dengan adanya garis panduan tersebut, sentimen kaum yang cuba dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dapat dibanteras disebabkan kekuatan patriotism dan semangat perpaduan tersemat dalam setiap rakyat.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan perlu segera meningkatkan kualiti saluran capaian internet dalam memaksimumkan penggunaan teknologi pendidikan di semua sekolah di Malaysia khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Kesiapsiagaan pendidikan kita perlu segera adaptasikan dengan norma baharu. Pandemik ini menyebabkan semua pelajar dan pengajar memanfaatkan rangkaian sedia ada untuk melakukan pengajaran dan pembelajaran (PDP) secara dalam talian sama ada WhatsApp, Telegram dan Google Classroom.

“Malah, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari itu, guru-guru di Malaysia merekodkan carian Google Classroom paling tinggi di dunia diikuti Indonesia, Serbia dan Hungray. Hal ini membuktikan betapa pentingnya teknologi dalam mendamping dunia kucar-kacir akibat pandemik COVID-19,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.