Tiada keperluan tukar MyKad baharu

61

9 SEPT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan kerajaan tidak bercadang untuk menukarkan MyKad sedia ada kepada yang baharu memandangkan kad pengenalan sedia ada dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang bermutu tinggi dan canggih.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, pada masa yang sama, pihaknya menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sentiasa mengalu-alukan sebarang pihak dan pakar bagi meningkatkan kualiti MyKad di masa akan datang.

ISMAIL MOHAMED SAID

“Di mana yang pertama, MyKad ini dibuat daripada bahan polikarbonat sepenuhnya dan diuji ketahanan di makmal yang diiktiraf. Yang kedua, cip MyKad juga telah melalui beberapa peringkat ujian termasuk sebelum proses memasukkan cip pada MyKad.

“Dan menggunakan laser pada nama, nombor kad pengenalan atau gambar kecil yang dipanggil ‘ghost image’ bagi mengelakkan maklumat dipinda dan sekiranya terdapat pindaan kita akan dapat mudah dikesan dengan pantas,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang menyatakan jangka masa untuk pihak kerjaan melaksanakan proses menukar kad pengenalan baharu yang berkualiti dan lengkap dengan ciri-ciri keselamatan.

Dalam pada itu, Ismail mengingatkan orang ramai agar sentiasa membawa kad pengenalan dan bertanggungjawab menyimpannya di tempat yang selamat selaras dengan peraturan 6 Akta Pendaftaran Negara 1990.

“Orang ramai yang gagal berbuat demikian boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Oleh itu saya ucapkan tahniah oleh JPN kerana beberapa operasi ID (kad pengenalan) telah diadakan.

“Operasi yang dilakukan secara rawak itu untuk memastikan orang ramai mempamerkan dan membuktikan mereka mempunyai kad pengenalan yang sah di sampung merupakan warganegara Malaysia,” katanya.

Sementara itu, bagi menjawab soalan pertambahan Mohamad Ali meminta perkembangan siasatan pihak polis berkenaan laporan polis oleh JPN terhadap laman sesawang yang mengiklankan dan menjual MyKad palsu. Ismail berkata pihaknya amat memandang serius terhadap isu tersebut.

“Memang pihak JPN melalui kerjasama agensi-agensi di bawah KDN sentiasa mengadakan operasi dan juga memandang berat mana-mana sindiket yang lakukan tindakan untuk memalsukan kad pengenalan.

“Kes ini dalam siasatan pihak polis dan akan teruskan siasatan dengan teliti supaya mana-mana sindiket akan kita bawa ke muka pengadilan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.