Persidangan Halal Sedunia berlangsung secara hibrid

39

9 SEPT: Persidangan Halal Sedunia 2020 ke-12 anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) akan berlangsung secara hibrid iaitu kombinasi maya dan fizikal pada 6 Oktober ini berikutan penularan pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, persidangan yang akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala ucapan pembukaan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“WHC2020 akan menjadi satu persidangan hibrid maya. Sekatan perjalanan antarabangsa telah menyebabkan kesulitan untuk menghadiri persidangan ini, justeru, platform maya ini akan membolehkan kami untuk meneruskan persidangan dengan menghimpunkan rakan kerjasama, delegasi dan peserta global secara maya.

“Sesi soal jawab masa nyata secara dalam talian juga akan diadakan,” katanya.

Beliau menambah, menerusi topik yang merangkumi senario pasca COVID-19, persidangan kali ini akan menampilkan komponen seperti panel duta yang akan bercakap mengenai permerkasaan komuniti bagi merangsang ekonomi semasa tempoh pemulihan sementara pemimpin industri akan menyentuh mengenai tanggungjawab pengeluaran dan penggunaan serta memacu pertumbuhan ekonomi halal menerusi kewangan Islam

Hairol Ariffein memberitahu, WHC2020 dianjurkan bertepatan pada waktunya untuk membincang secara lebih lanjut dan mengemukakan cadangan tentang bagaimana sektor halal harus menangani kesan daripada pandemik dan dengan pendigitalan yang dipergiatkan serta peralihan kepada ekonomi dunia baru.

Persidangan halal sedunia yang yang dianjurkan secara tahunan itu terkenal sebagai platform jaringan untuk menghubungkan ketua-ketua kerajaan, cendekiawan, usahawan dan penggiat industri untuk menerokai dan berbincang mengenai pelbagai cabaran dan peluang dalam ekonomi halal bagi menentukan hala tuju industri halal pada masa hadapan.

HDC sangat optimistik dengan sambutan penyertaan di WHC2020 dan menjangkakan kira-kira 300 delegasi jemputan di MITEC yang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan anggaran 1,500 delegasi maya.

Sekretariat HDC boleh dihubungi di 1-800-880-555/03 7965 5444 atau e-mel kepada [email protected] untuk maklumat lanjut mengenai WHC2020.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.