Op Benteng: 61 PATI, 5 tekong dicekup

111

9 SEPT: Sebanyak 24 tangkapan melibatkan seramai 61 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan lima tekong dilakukan oleh pihak berkuasa dalam Operasi Benteng, semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan seramai 26 PATI di Bandar Penawar, Johor atas kesalahan imigresen.

Selain itu, menurut beliau, sebanyak 12 PATI ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Sebanyak 72 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM (58 SJR), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (10 SJR) dan ATM (4 SJR).

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui SJR Ops Benteng telah memeriksa 24,972 kenderaan dan berjaya melakukan 11 tangkapan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan Petugas Kebangsaan yang melaksanakan Operasi Benteng dianggotai ATM, PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem).

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, PDRM menahan 221 individu atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam dan daripada jumlah itu, seramai 212 individu telah dikompaun, lapan orang direman dan seorang individu dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (118), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (34), penjarakan fizikal (43), tidak memakai pelitup muka (18), gagal mematuhi perintah kuarantin (1), premis beroperasi lebih masa (5) serta tangkapan PATI (2),” jelasnya.

Pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 1,598 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Mereka mendapati 1,582 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan manakala 14 premis diberi nasihat dan dua premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.