Nama Musa Aman tiada dalam senarai BN – Bung Moktar

1,058

9 SEPT: Setelah membayangkan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila, kedudukan Tan Sri Musa Aman terus menjadi teka-teki ramai.

Ini apabila nama bekas Ketua Menteri Sabah itu disahkan tidak berada dalam senarai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diumum esok.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin seperti mana dilaporkan portal berita Astro Awani sebentar tadi.

Menurut portal itu, Musa sah tiada dalam senarai calon BN yang akan bertanding dalam PRN Sabah.

“Saya tidak ada perbincangan mengenai itu (pulang ke Sungai Manila).

“Nama beliau juga tiada dalam senarai calon (BN) yang akan diumumkan esok (Khamis),” katanya.

BN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selaku rakan parti yang mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dijadualkan mengumumkan senarai nama calon PRN Sabah secara bersama kira-kira pukul 10 pagi esok.

Musa Aman

Terdahulu, Musa menerusi akaun Facebook miliknya memberi bayangan akan bertanding di kerusi DUN Sungai Manila yang terletak di dalam Parlimen Libaran pada PRN 26 September depan.

Tindakan itu sekali gus menimbulkan tanda tanda tanya adakah beliau akan berpindah kerusi dalam PRN Sabah hujung bulan ini.

“I’m going back to Sungai Manila,” jelas Musa yang merupakan ADUN Sungai Sibuga.

DUN Sungai Manila adalah antara 13 kerusi baru selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya DUN Sabah.

Terletak dalam Parlimen Libaran yang mana pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, kerusi Parlimen itu dimenangi calon BN dalam persaingan tiga penjuru dengan majoriti 678 undi.

Pada PRU-14, Musa berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Sibuga selepas memperolehi 14,503 undi, manakala pencabarnya, Asmara Abdul Rahman dari Parti Warisan Sabah (Warisan) mendapat 12,319 undi dan Osman Enting dari Parti Kebangsaan Sabah mendapat 241 undi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.