Isu Veveonah ke Kabinet, internet pedalaman ditingkatkan

113

9 SEPT: Mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju isu sebenar di sebalik apa yang diketengahkan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin ialah soal capaian internet di pedalaman.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan akan berusaha sebaik mungkin untuk memperbaiki aspek tersebut dan kemudahan asas lain di luar bandar.

“Jemaah Menteri pagi tadi telah bincang isu Veveonah. Kabinet ambil maklum kenyataan dua Timbalan Menteri tidak betul dan tidak wajar.

“Kabinet setuju isu sebenar adalah capaian internet dan kemudahan asas lain khusus di pedalaman. Kerajaan akan usaha sebaik mungkin untuk perbaiki,” katanya menerusi ciapan Twitter beliau hari ini.

Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan pelan tindakan khas di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi meningkatkan komunikasi digital di seluruh negara termasuk kawasalan pedalaman.

Pelaksanaan pelan tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang akan menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara menjadi landasan penyediaan liputan perkhidmatan jalur lebar menyeluruh dan berkualiti tinggi, serta mempersiapkan negara untuk peralihan kepada teknologi 5G secara mantap.

Isu yang diketengahkan Veveonah kembali menjadi perhatian apabila Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin turut mengulas mengenai kedudukan pelajar itu dalam sesi soal jawab di Dewan Negara baru-baru ini.

Hal itu kemudian pantas dimanipulasi pembangkang apabila dijelaskan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Abdul Rahim Bakri selaku Ahli Parlimen Kudat mengenai kedudukan capaian internet di Pitas.

Sementara itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menempelak pemimpin DAP yang berterusan cuba menghasut rakyat dalam isu Veveonah.

Sambil memberikan kata-kata sokongan kepada isu diketengahkan pelajar UMS berkenaan, Annuar berkata, sedangkan apa yang dilakukan kerajaan untuk Sabah dan Sarawak jauh lebih baik berbanding DAP.

Menteri Wilayah Persekutuan itu dalam beberapa ciapannya turut menyindir ulasan pemimpin DAP termasuk Penasihatnya, Lim Kit Siang yang digelar pakar putar belit.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.