Isi borang pencalonan lebih awal – SPR

123

9 SEPT: Semua bakal calon yang ingin bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, dinasihatkan agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang pencalonan, sebelum hari penamaan calon 12 September ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Ikmalrudin Ishak berkata, semakan itu boleh dibuat dengan pejabat pegawai pengurus atau pejabat pilihan raya negeri Sabah.

Menurut beliau, pada hari penamaan calon, kertas penamaan calon boleh dikemukakan bermula pada jam 9.00 hingga 10.00 pagi, kepada pegawai pengurus pilihan raya di 73 bahagian pilihan raya oleh calon, pencadang dan penyokong, mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.

“Selain itu bakal-bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran perlu dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ikmalrudin menambah, bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon.

Beliau menjelaskan, selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon, dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.

Katanya, aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding juga tidak dibenarkan, di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon.

“SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT), pada hari penamaan calon,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.