Berjuang, menang sebagai pasukan Perikatan Nasional

283

9 SEPT: Perikatan Nasional (PN) mampu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September ini menerusi kesepaduan setiap parti komponen yang akan bergerak sebagai sebuah pasukan yang jitu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN adalah sebuah pasukan yang kuat dan tidak akan mampu ditewaskan bila semua parti bersama-sama sepakat dalam perjuangan ini.

“Dengan dokongan dan sokongan semua pemimpin, mana mungkin parti lain boleh tewaskan PN. Insya Allah kita akan berjaya. Inilah perjuangan kita.

“Marilah kita ambil semula kerajaan negeri Sabah. Kita ubah kepada kerajaan PN selepas 26 September ini. Bersama-sama kita menentukan masa depan yang lebih baik,” katanya yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika berucap pada Majlis Himpunan PN di Kota Kinabalu malam ini.

Yang hadir sama Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey G Kitingan, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Pada majlis itu, Hamzah secara simbolik menyerahkan bendera PN kepada semua pimpinan parti komponen PN termasuk Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim.

Sementara itu, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, dalam apa juga keadaan sekalipun kerajaan PN akan pastikan kedaulatan negeri Sabah.

Katanya, PN dan beliau sendiri akan bersama dengan seluruh rakyat Sabah mempertahankan negeri ini daripada sebarang tuntutan asing.

“Ini negara bermaruah, negara yang berjaya termasuk membuktikan kepada dunia apa sahaja ujian, kita harungi membujur lalu melintang patah.

“Percayalah PN akan kekal mempertahankan hak rakyat dan negeri ini,” tegasnya.

Sementara itu, Hamzah berkata, kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri amat menitikberatkan kesejahteraan Sabah.

Katanya, sebab itu, Dr Jeffrey bersama rakan komponen yang lain memilih untuk bersama PN kerana merasai wadah PN adalah perjuangan kesaksamaan, keadilan dan hormat menghormati yang dibawa untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin, abah kita, abah yang sayangkan Sabah. Abah kita hari ini sayang seluruh rakyat Malaysia.

“Dan kita akan bersama beliau pastikan Sabah ini dipimpin dari pasukan kita. Inilah perjuangan kita,” katanya.

Tambah Hamzah, acara malam ini sangat bersejarah kerana menjadi himpunan pertama PN yang jika tidak kerana COVID-19, ratusan ribu peserta pasti mampu dikumpulkan.

Katanya, malah himpunan sulung PN itu sangat bermakna kerana bukan berlangsung di Semenanjung tetapi di bumi Sabah. – Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.