Rakyat Sabah rindu BN, menderita bawah Warisan

116

8 SEPT: Rakyat Sabah amat merindukan pentadbiran Barisan Nasional (BN) di negeri itu setelah menderita di bawah kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-4).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, partinya mempunyai rekod prestasi yang baik ketika menjadi kerajaan negeri di Sabah dengan membawa pelbagai pembangunan.

Namun, kata beliau, sebahagian rakyat Sabah terpengaruh dengan dengan fitnah dan tohmahan yang disebarkan oleh Pakatan Harapan (PH).

zahid
BN bertekad merampas kembali Sabah daripada cengkaman Warisan.

“Tetapi apabila kerajaan baru memerintah apa yang dibuat menyebabkan rakyat menyesal dan mahu BN kembali memerintah.

“Dalam tempoh dua tahun ini terlalu banyak permasalahan… atas nama rakyat Sabah kita rasa negeri ini berpotensi dan negeri yang boleh dimajukan dan ianya harus dikembalikan agar pembangunan ekonomi dan sebagainya lagi dapat naik semula,” katanya ketika berucap melancarkan jentera pilihan raya BN Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa; Pengerusi BN Sabah, Datuk Bung Moktar Radin dan pemimpin-pemimpin BN yang lain.

Ahmad Zahid turut menyelar kerajaan Warisan kerana gagal memastikan Sabah mencapai pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.

Beliau mendakwa, kerajaan Warisan telah membatalkan banyak projek penting yang berupaya melonjakkan tahap sosioekonomi Sabah.

“Kita lihat, Projek Pan Borneo terbengkalai disebabkan mereka mahu melihat hanya kontraktor-kontraktor yang mahu dipakai oleh mereka meneruskan projek itu,” jelasnya.

Ahmad Zahid memberitahu, BN akan memperkenalkan pembaharuan ekonomi di Sabah sebaik sahaja diberi mandat untuk membentuk kerajaan negeri kelak.

“Kita akan kembalikan secara adil semua kontraktor yang telah dizalimi oleh kerajaan sekarang untuk maju semula,” tegasnya.

Beliau turut memberi bayangan awal sebahagian daripada manifesto BN untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah antaranya menaik taraf jalan luar bandar dan kemudahan kesihatan di seluruh negeri itu. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.