PRN Sabah: Benteng LD terkawal, patuh SOP elak jangkitan

56

8 SEPT: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung bulan ini menuntut petugas dan orang ramai mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) kesihatan bagi mengelak peningkatan wabak COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jika diamalkan SOP yang ditetapkan seperti mengelakkan sentuhan dan tempat sesak serta kerap mencuci tangan dan memakai pelitup muka, beliau percaya wabak ini boleh dihindari.

“Elakkan 3S dan amalkan 3 W. Kalau kita amalkan SOP kesihatan, insya-Allah kita boleh jarakkan dari jangkitan (COVID-19).

“Tapi jika ada perhimpunan tetapi tiada penjarakan dan tidak memakai pelitup muka, maka risiko jangkitan akan meningkat,” katanya dalam sidang akhbar di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya hari ini.

Noor Hisham diminta memberi respons mengenai PRN Sabah yang akan bermula dengan penamaan calon Sabtu ini berikutan peningkatan kes mendadak di Sabah dengan 62 lagi kes dilaporkan hari ini.

KKM menasihatkan elak 3 S iaitu elakkan kawasan sesak, sempit dan elak sembang dekat dan amalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai alat pelitup muka di tempat awam serta patuhi amaran pihak berkuasa.

Sementara itu, Noor Hisham menjelaskan, jangkitan dari kluster Benteng LD yang dilaporkan di Tawau dan Lahad Datu adalah terkawal dan tidak menular dalam kalangan masyarakat.

Katanya, ia hanya berlaku di dalam lokap ibu Pejabat Polsi Daerah (IPD) Lahad Datu dan Penjara Tawau yang bermula dari tahanan di situ melibatkan dua kes indeks kita telah kenal pasti iaitu pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Ini seperti yang pernah berlaku di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil yang pernah melaporkan lebih 200 kes. Tetapi ia hanya meular di kawasan itu sahaja tanpa libatkan penularan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, kluster Benteng LD secara keseluruhannya memlibatkan 129 kes.

Dalam pada itu, kata Noor Hisham, semua bentuk sentuhan termasuk cara melagakan penumpuk atau mana-mana bahagian badan yang menjadi trend ketika ini perlu dielakkan dan bukan sahaja bersalaman.

Katanya, ini bagi mengelakkan sama sekali risiko dijangkiti COVID-19 seandainya ada sentuhan dan berada pada jarak dekat antara dua individu.

“Setiap kali sidang akhbar saya mengingatkan mengelakkan sentuhan dan bersalaman. Ada sentuhan, ada risiko. Kalau salah seorang positif, ini boleh menyebabkan jangkitan bila kurang dari satu meter,” jelasnya.

KKM sebelum ini menyarakan salam digantikan dengan cara tangan meletakkan di dada sebagai hormat. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.