Musa tak pernah warta penempatan PATI Filipina

77

8 SEPT: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman tidak pernah mewartakan tanah seluas 46.40 ekar di Sungai Mowtas, Sandakan sebagai kawasan penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Filipina.

Bekas Pengarah Tanah dan Ukur Sabah, Datuk Osman Jamal menafikan dakwaan itu yang disifatkan untuk memfitnah dan berniat jahat yang semata-mata bertujuan mengelirukan rakyat.

Beliau menjelaskan, kawasan itu pada asalnya diwartakan bagi tujuan tersebut pada 1983, namun Musa mencadangkan pembubaran kawasan penempatan itu.

“Tan Sri Musa kemudian pada 6 Oktober 2005 mencadangkan kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah agar kawasan Penempatan Pelarian Filipina seluas 46.40 ekar dibubarkan .

“Berikutan cadangan tersebut, kawasan penempatan PATI seluas 46.40 ekar telah dibubarkan melalui pewartaan G.N. 27 – 2006 dan kawasan penempatan PATI dari Filipina seluas 4.60 ekar dikekalkan untuk kegunaan asal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Osman berkata demikian bagi menjawab kenyataan bekas Menteri Pertanian dan Industri Sabah, Junz Wong berhubung pewartaan kawasan di Sungai Mowtas sebagai penempatan PATI dari Filipina.

Baru-baru ini, Junz dalam satu forum tentang pendatang tanpa izin dilaporkan meminta beberapa parti politik menjelaskan tentang pewartaan itu, yang menurutnya berlaku pada Januari 2006.

Justeru, Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung memberitahu ini membuktikan bahawa Musa bukanlah bekas Ketua Menteri yang mencadangkan pewartaan kawasan penempatan PATI Filipina melalui G.N. 27 – 2006. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.