Matrade sediakan direktori lengkap kepakaran Malaysia

78

8 SEPT: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Bank Pembangunan Islam (IsDB), telah mengeluarkan direktori lengkap yang menyenaraikan kepakaran Malaysia yang dapat memberikan penyelesaian pembangunan kapasiti kepada negara-negara anggota IsDB.

Direktori itu, yang dinamakan Pusat Sumber Pemetaan Malaysia (MMRC), mengandungi maklumat mengenai organisasi Malaysia (dirujuk sebagai pusat sumber) yang terdiri daripada agensi kerajaan, institusi swasta dan syarikat.

Ia susulan penyertaan Malaysia dalam IsDB Reverse Linkage Programme, mekanisme Kerjasama Selatan-Selatan yang memberi tumpuan kepada penyelesaian pembangunan khusus di negara-negara anggota IsDB.

Direktori itu turut memudahkan aturan yang saling memberi manfaat antara negara, melibatkan pemindahan dan penyediaan kepakaran, pengetahuan dan teknologi oleh negara penyedia kepada negara-negara yang memerlukan perkhidmatan tersebut.

“Sebagaimana ditetapkan tumpuan Malaysia untuk IsDB Reverse Linkage Programme, Matrade menyelaraskan penyertaan sektor awam dan swasta dengan IsDB menyalurkan kepakaran Malaysia untuk membantu membangunkan sektor utama di negara-negara anggota IsDB.

“Penerbitan Matrade untuk direktori MMRC menyenaraikan lebih 60 Pusat Sumber daripada pelbagai sektor, antara lain, termasuklah pembinaan dan perkhidmatan yang berkaitan, logistik, kewangan Islam, pertanian dan R&D, perkhidmatan berkaitan minyak dan gas serta teknologi maklumat dan komunikasi,” kata Matrade dalam kenyataan media.

Direktori MMRC dapat diakses secara percuma di platform tontonan e-book Matrade di http://www.matrade.gov.my/documents/ebook/mmrc_2020/, bersama dengan banyak penerbitan yang berkaitan dengan perdagangan antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Matrade di www.matrade.gov.my.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.