Wujud barisan terbaik bagi raih sokongan rakyat

97

8 SEPT: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru seluruh ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengukuhkan perpaduan dan bekerja keras supaya bila tiba masanya pilihan raya umum diadakan, rakyat akan bangkit memberi mandat kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menerajui negara.

Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu berkata, untuk itu, ahli-ahli Bersatu perlu membuang jauh sebarang rasa iri hati atau curiga sesama sendiri yang boleh merenggangkan perpaduan.

Katanya, pimpinan Bersatu di setiap peringkat juga digesa untuk mewujudkan barisan kerja yang paling kukuh dan penuh amanah serta berintegriti agar imej Bersatu akan sentiasa disokong seluruh lapisan rakyat Malaysia.

“Saya mahu bila detiknya sampai pilihan raya umum (PRU), rakyat akan bangkit dan bangun memberikan mandat kepada PN untuk membentuk kerajaan.

“Tapi jangan tanya saya bila PRU. Cuma, yang penting bekerjalah bersungguh-sungguh seolah-olah esok PRU akan diadakan. Seolah-olah esok,” kata Muhyiddin.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Keempat Bersatu di ibu negara malam ini.

Yang hadir sama pimpinan tertinggi Bersatu termasuk Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurut Muhyiddin, sempena sambutan ulang tahun keempat Bersatu, beliau mahu mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas sokongan yang diberikan kepadanya dalam mempin negara dan parti.

Katanya, beliau juga mengucapkan tahniah kepada seluruh pimpinan parti di setiap peringkat yang terpilih pada pemilihan parti yang diadakan buat julung-julung kalinya bulan lalu.

“Doa kita Bersatu akan terus kekal abadi dalam politik negara untuk masa-masa yang mendatang. Insya-Allah,” jelasnya.

Sementara itu, Muhyddin dalam ucapannya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang melakukan pengorbanan besar dalam memerangi COVID-19 sehingga negara diiktiraf dunia antara yang terbaik dalam mengekang penularan wabak itu.

Katanya, di pihak kerajaan pula, beliau sedaya upaya berusaha memastikan rakyat berasa selesa dengan pimpinan PN bahawa nasib masa depan mereka terjamin.

“Maka sebab itu kita bersepakat bersama rakan-rakan yang lain dalam apa yang disebut sebagai PN untuk bergabung tenaga dalam saf politik yang satu bagi mengelakkan pertembungan kepentingan, mewujudkan persefahaman dan membentuk barisan yang boleh berkerja bersama-sama.

“Ini tidak boleh kita elakkan, dalam apa keadaan pun kita perlu wujudkan suasana politik baru dalam suasana norma baharu.

“Saya percaya rakyat akan mendokong perjuangan kita hari ini. Sebab itu kita buat keputusan tubuh PN. Inisiatif ini bukan untuk diri saya, saya ambil ini sebagai satu langkah menggabungkan gerakan politik dalam satu wadah perjuangan yang sama.

“Saya harapkan semua pihak berikan sokongan kepada inisiatif yang telah dimulakan ini,” ujarnya.

Katanya, ini diikuti dengan jemputan ke dalam Muafakat Nasional sebagai satu ‘chapter’ yang lebih besar bersama parti Melayu dan Islam lain di negara ini.

“Saya sebagai Presiden parti, menerima jemputan dalam gabungan Muafakat Nasional bersama UMNO dan Pas. Yang penting untuk ke hadapan bagaimana nak pastikan usaha yang telah kita lakukan membuahkan manfaat bukan sahaja dari segi politik bahkan dari sudut negara dan kerajaan.

“Sebab itu kita perlu duduk sepakat berbincang tanpa rasa cemburu tetapi dengan rasa kasih dan sayang bagi membentuk persefahaman lebih kukuh. Ini bagi saya penting untuk jamin masa depan lebih terjamin termasuk bila tiba PRU, rakyat akan bangkit dan sokong PN bentuk kerajaan,” ujarnya. –Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.