Kerajaan negeri Selangor akan hubungi Peguam Negara

79

8 SEPT: Kerajaan negeri Selangor akan berhubung dengan Jabatan Peguam Negara untuk memperinci serta mengemas kini laporan berkenaan insiden pencemaran sungai di Selangor termasuk kes terbaharu minggu lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri berharap tindakan tegas dapat diambil dengan segera bagi menyelesaikan masalah pencemaran sungai.

“Kerjasama yang rapat antara semua agensi terutama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat penting demi memastikan keselamatan bekalan air negeri terjamin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, kerajaan negeri juga mengucapkan terima kasih serta mengambil maklum atas tindakan segera Jabatan Peguam Negara semalam.

“Pagi ini saya bertemu dengan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Selangor, Datuk Salim Soin; Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Datuk Ir Hashim Osman dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar,” katanya.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menyangkal Amirudin yang mendakwa tiada tindakan lanjut dibuat pihaknya selepas kerajaan negeri selesai menyiasat kes pencemaran air pada April lalu oleh kilang sama yang menyebabkan pencemaran terbaharu.

Sebaliknya, Idrus menyatakan kerajaan negeri tidak pernah pun merujuk kepada Jabatan Peguam Negara apa-apa kertas siasatan berhubung insiden pencemaran sumber air seperti didakwa.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.