Jkuasa Kabinet Sekuriti Makanan tubuh empat kluster

86

8 SEPT: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini, mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKKDSMN) yang bermesyuarat buat kali pertamanya hari ini di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata jawatankuasa berkenaan ditubuhkan susulan impak COVID-19 bertanggungjawab
meneliti isu-isu berkaitan sekuriti makanan secara menyeluruh meliputi aspek rantaian bekalan, tenaga kerja, aplikasi teknologi, sumber kewangan, pelaburan, guna tanah dan infrastruktur.

Menurut kenyataan berkenaan sebanyak lima kertas kerja merangkumi strategi untuk memperkukuh sektor agromakanan negara berlandaskan peningkatan pengeluaran domestik, perluasan teknologi moden dan pengurangan kebergantungan kepada import, telah dibincangkan.

Katanya, turut dibentangkan strategi untuk meningkatkan kualiti dan jaminan keselamatan makanan bagi mengoptimumkan sumber sedia ada.

“Mesyuarat bersetuju memperakukan cadangan Kerangka Sekuriti Makanan Negara yang disarankan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (FAO), untuk mewujudkan empat kluster di bawah tiga kementerian dan satu agensi.

“Kluster berkenaan ialah kluster Ketersediaan di bawah Sekretariat Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan; kluster Kebolehcapaian di bawah Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Satu lagi kluster ialah kluster Keselamatan Makanan dan Pemakanan di bawah Sekretariat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK), Kementerian Kesihatan Malaysia; dan kluster Kestabilan dan Kemampanan di bawah Kementerian Pertanian dan
Industri Makanan dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya Pejabat Perdana Menteri di sini, sebentar tadi.

Pejabat Perdana Menteri berkata keempat-empat kluster berkenaan akan berfungsi mengetengahkan isu dan cadangan penyelesaian berhubung rantaian sistem makanan dan pelaksanaan strategi yang telah dikenal pasti.

Katany, penubuhan Jawatankuasa Kabinet  berkenaan diharapkan dapat memantapkan tadbir urus sekuriti makanan negara dan mentransformasikan sektor agromakanan ke tahap yang lebih baik, sekaligus memastikan bekalan makanan terjamin.

“Jawatankuasa ini dianggotai oleh 11 Ahli Tetap yang terdiri daripada Menteri Pertanian dan Industri Makanan; Menteri Kewangan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; Menteri Kesihatan; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

“Turut menganggotai jawatankuasa berkenaan ialah Menteri Pengangkutan; Menteri Pembangunan Luar Bandar; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Menteri Kanan Kerja Raya; Menteri TugasTugas Khas; dan Gabenor Bank Negara yang juga ahli jemputan,” katanya.

“Jawatankuasa ini juga dibantu oleh Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang menyelaras cadangan bagi mengukuhkan sekuriti makanan negara serta mengawal selia pelaksanaan keputusan dan arahan Jawatankuasa Kabinet,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.