COVID-19: Tiada keperluan saring semua guru

65

8 SEPT: Buat masa ini tiada keperluan mendesak untuk mewajibkan semua guru sekolah di seluruh negara menjalani ujian saringan COVID-19 secara percuma dan berkala kecuali premis terletak di bawah kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kerajaan juga membangunkan prosedur operasi standard (SOP) untuk pelbagai sektor dan sub-sektor termasuk dalam sektor pendidikan.

Menurut beliau, pematuhan kepada SOP berkenaan adalah penting bagi memastikan tiada penularan jangkitan COVID-19 berlaku di sekolah.

“Kementerian Kesihatan menerima permohonan sama daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, KPDNHEP namun kita bersetuju bahawa pasukan perubatan daerah akan membuat penilaian risiko berdasarkan keperluan dari semasa ke semasa.

“Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan hanya akan menjalankan ujian saringan COVID-19 secara percuma hanya kepada individu bergejala dan berisiko tinggi sahaja,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.

Dr Noor Azmi menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Robert Lau Hui Yew yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menawarkan perkhidmatan ujian COVID-19 bagi guru sekolah secara percuma dan berkala.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai contoh dalam kes Kluster Tawar yang bermula sejak 3 september, sehingga kini 78 kes positif COVID-19 dan daripada jumlah itu 18 kes membabitkan guru dan murid dengan kadar positivitinya ialah 23.1 peratus.

Dr Noor Azmi memberitahu, daripada jumlah itu, dua kes positif membabitkan guru, empat kes pelajar sekolah menengah dan sembilan kes murid sekolah rendah serta tiga kanak-kanak prasekolah.

“Kita dapat lihat daripada 106 kluster COVID-19 dilaporkan berlaku di seluruh negara, Kluster Tawar adalah 11 kluster paling aktif.

“Bagi kluster seperti ini aktiviti kesihatan awam iaitu pengesanan kes dan kontrak rapat penilaian risiko, saringan gejala menerusi ujian PCR dan merujuk mereka positif ke hospital berhampiran. Kita juga akan jalankan aktiviti disanitasi dan pembersihan di kawasan kerap disentuh,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi juga menasihatkan semua rakyat Malaysia supaya tidak bersentuhan antara satu sama lain termasuk melaga-lagakan tangan atau bersalaman ketika bertemu bagi mencegah jangkitan COVID-19.

“Kementerian Kesihatan juga sudah membuat persiapan rapi sekiranya penularan pandemik COVID-19 berterusan selama dua tahun lagi seperti diramal oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebelum ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.