Bersatu sasarkan sejuta keahlian – Setiausaha Agung

111

8 SEPT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyasarkan sejuta keahlian menjelang akhir tahun ini, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, ketika ini keahlian Bersatu yang menyambut ulang tahun keempatnya hari ini telah mencecah lebih 500,000 orang.

Katanya, pertambahan keahlian ini dari seluruh negara pastinya memperkukuhkan perjuangan Bersatu untuk agama, bangsa dan tanah air.

“Pada 2016, tahun Bersatu dilahirkan bermula dengan 46,000 ahli dan kemudian meningkat kepada 54,000 orang sebelum bertambah kepada 120,000 pada 2018.

“Saya nak maklumkan kepada tuan-tuan semua ahli Bersatu yang bersama memperkukuh perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air kini sudah mencecah lebih 500,000 di seluruh negara,” katanya.

Hamzah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Keempat Bersatu malam ini.

Yang hadir sama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalannya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan seluruh pimpinan tertinggi parti.

Tambah Hamzah, Bersatu mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada rakan-rakan diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang telah bersama menyertai Bersatu baru-baru ini.

Katanya, kemasukan Mohamed Azmin dan rakan-rakan dari seluruh negara akan bersama-sama memperkukuhkan lagi parti.

“Justeru, kami berikrar dan berjanji untuk capai satu juta ahli pada akhir tahun ini, insya-Allah ini lah hadiah kami kepada Tan Sri Presiden.

“Alhamdulillah. Kalau ini yang dapat kita buktikan, jangan risau propaganda orang lain, yang penting keikhlasan saudara semua,” jelasnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.