72 ingkar PKPP, 20 kerana tidak pakai pelitup muka

59

8 SEPT: Biar pun berulang kali ditekankan keperluan memakai pelitup muka di tempat awam, namun kesalahan tersebut terus dikesan sepanjang Ops Pematuhan dijalankan dengan semalam sahaja 20 individu diambil tindakan kerana ingkar arahan tersebut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keseluruhannya seramai 72 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 70 individu dikenakan kompaun manakala seorang lagi ditahan reman dan seorang lagi dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan termasuk gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan (24), penjarakan fizikal (26), tidak memakai pelitup muka (20) manakala seorang individu lari dari pusat kuarantin serta seorang dikenakan tindakan kerana premis beroperasi lebih masa.

“Sebanyak 3,031 pasukan pematuhan dengan kekuatan 12,118 anggota membuat pemantauan di 3,933 pasar raya, 4,659 restoran serta 1,398 penjaja, 1,192 kilang, 3,737 bank dan 1,013 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau 1,133 terminal pengangkutan darat, 213 terminal pengangkutan air serta 109 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sejak 1 Ogos lalu, kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam kerana langkah itu mampu mencegah penularan COVID-19.

Sementara itu, kata Ismail Sabri, seramai 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang penyeludup ditahan dalam Operasi Benteng yang dijalankan semalam.

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan melalui 14 tangkapan yang dijalankan pihak berkuasa.

“Operasi Benteng melakukan 14 tangkapan semalam membabitkan 25 PATI dan seorang penyeludup.

“Sebanyak 79 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng juga dilaksanakan semalam membabit PDRM (65), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) (10) dan empat yang dijalankan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.