177,921 warga asing dilindungi UNHCR

74

8 SEPT: Sehingga 31 Julai lalu, seramai 177,921 warga asing yang memasuki Malaysia sudah diberikan perlindungan antarabangsa oleh Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai pelarian dan pemohon suaka berdaftar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datin Mastura Yazid berkata, daripada jumlah itu seramai 128,185 orang terdiri daripada pelarian dari pelbagai negara termasuk Myanmar, manakala selebihnya 49,736 terdiri daripada pemohon suaka politik.

“Dalam aspek kebajikan, kerajaan secara dasarnya menetap semua pelarian memiliki kad UNHCR termasuk etnik Rohingya dan Myanmar adalah seperti kemudahan untuk mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan terpilih 50 peratus kos rawatan dikenakan kepada warga asing dan 50 peratus lagi ditanggung oleh pelarian terbabit sendiri.

“Kerajaan juga melaksanakan inisiatif bagi mendapatkan bantuan kewangan daripada Qatar Fund for Development dalam isu berkaitan kesihatan, pendidikan asas dan latihan kemahiran,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Dr Yaakob Sapari berhubung jumlah pelarian yang telah masuk di negara ini.

Mengulas lanjut, Mastura berkata, kerajaan juga tidak pernah menghalang mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan individu yang mahu memberikan bantuan kebajikan kepada pelarian yang memegang kad UNHCR.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan secara dasarnya membenarkan akses pendidikan kepada pemegang kad UNCR untuk mendapat pendidikan di pusat bimbingan altenatif diwujudkan oleh NGO, komuniti pelarian dan UNHCR. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.