100 kes baru COVID-19, KKM seru ambil serius SOP

120

8 SEPT: Sebanyak 100 kes baru COVID-19 dengan 85 penularan tempatan dilaporkan hari ini yang merupakan jangkitan tiga angka yang pertama dilaporkan di negara ini sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka tertinggi dicatatkan dari kluster Benteng LD di Sabah dengan 62 kes baru COVID-19 melibatkan dua daerah iaitu Lahad Datu dan Tawau.

Katanya, ini diikuti di negeri Kedah melibatkan kluster Sungai yang membabitkan 23 kes positif termasuk seorang dikesan di Perlis.

Tambah Noor Hisham, kluster Sungai yang mula dilaporkan semalam melibatkan petugas kesihatan di sebuah pusat perubatan yang telah menjangkiti 16 rakan setugas dan tujuh ahli keluarganya.

“Daripada jumlah itu, 15 adalah kes import dengan angka tertinggi dilaporkan kepulangan dari India melibatkan 11 kes diikuti dua kes Indonesia dan masing-masing satu kes dari Pakistan dan Filipina.

“Pada masa ini ada 10 kluster masih aktif dengan Benteng LD mencatatkan 128 kes keluruhan dan kita telah saring 2,010 individu.

“Kluster Sungai pula melaporkan 26 kes dan saringan yang telah dilaksanakan 479. Lapan lagi kluster tiada pertambahan kes buat masa ini,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya.

Noor Hisham dalam pada itu mengingatkan orang ramai termasuk petugas barisan hadapan sama ada kesihatan atau keselamatan supaya terus mengutamakan nasihat kesihatan bagi mengelak peningkatan kes baru seperti mana dilaporkan hari ini.

Katanya, perkara ini tidak boleh diabaikan sama sekali kerana jika tidak, penularan COVOD-19 akan terus meningkat.

Beliau sedar, ada yang mula mengabaikan nasihat kesihatan dan perkembangan ini menunjukkan peningkatan risiko jangkitan dalam komuniti.

“Orang makin leka kepada prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat-nasihat yang diberi semakin diambil ringan.

“Petugas kesihatan juga diingatkan yang mereka berisiko mendapat jangkitan sama ada yang berkhidmat di fasiliti awam atau swasta. Sebab itu pematuhan 100 peratus adalah penting.

“Hari ini terdapat seorang petugas kesihatan dari kluster Sungai yang menjangkiti tujuh anggota keluarganya. Maka, ambillah seirus dengan situasi semasa,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, kes sembuh baru adalah 12 kes dan dengan perkembangan ini menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 bertambah kepada 295 kes.

“Tiada pertambahan kematian dilaporkan hari ini,” ujarnya. – Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.