Warisan tak boleh tipu rakyat Sabah dua kali

138

7 SEPT: Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak akan mampu menipu lagi rakyat Sabah dengan janji-janji yang tidak pun mampu ditunaikan seperti mana mereka lakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pemimpin Warisan jelas hanya mampu menawarkan harapan tanpa dapat menunaikannya setelah berkuasa.

“Perubahan apa yang rakyat dapat? Ekonomi Sabah menurun, hari ini Warisan menjelajah mengatakan telah melaksanakan janji pilihan raya dengan pemberian geran tanah. Itu pun BN buat dahulu,” kata Ahli Parlimen Kinabatangan itu.

Bung Moktar berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Puteri UMNO Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, mengenai pemberian geran tanah yang giat dilakukan pimpinan kerajaan negeri ketika ini, beliau berkata, perkara itu adalah hak rakyat Sabah sama seperti mana dinikmati ketika era pentadbiran BN dahulu.

“Kepada penerima geran, itu adalah hak kamu semua dan bukan hak Warisan. Yang jelas kerajaan Warisan telah gagal jalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

“Sebab itu kita beri tawaran baharu apabila geran tanah siap sahaja kita akan beri tanpa tunggu pilihan raya. Kita ubah balik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN). Ini sahaja caranya. Saya beri jaminan BN akan beri pemerintahan terbaik dengan transformasi besar-besaran dalam semua aspek.

“Kita datang kepada rakyat, kembali kepada rakyat dan harus membimbing dan angkat kembali mandat rakyat, insya-Allah,” ujarnya.

Menurut beliau, BN akan tampil dengan pelbagai tawaran baharu untuk rakyat Sabah dari pelbagai aspek khususnya soal ekonomi, pendidikan, sosial dan sebagainya lagi yang secara keseluruhannya akan memberi tumpuan kepada rakyat Sabah.

“Insya-Allah BN dan rakan-rakan sekiranya diberi kepercayaan kita akan bekerja untuk rakyat dan kita bukanlah parti seperti mana yang diungkap oleh Warisan,” katanya.

Dalam pada itu, Bung Moktar meminta semua jentera parti termasuk Puteri UMNO memainkan peranan masing-masing dalam membantu BN mencapai kemenangan.

Yang penting katanya, semua pihak bergerak atas panji BN bersama rakan-rakan yang lain kerana yang utama ialah matlamat dan tujuannya selari dan seiring bersama.

“Kita harus melihat ke depan dan di hadapan ini banyak rintangan, gangguan dan cabaran menanti. Justeru saya amat berharap seluruh jentera parti memberikan sokongan padu apabila calon BN diumumkan nanti,” ujarnya lagi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.