Tiada syarikat dapat hak eksklusif kumpul sisa terjadual

45

7 SEPT: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menafikan dakwaan kerajaan memberi hak eksklusif kepada beberapa syarikat yang akan dikenakan bayaran tinggi bagi mengumpul sisa terjadual.

Ketua Pengarahnya, Norlin Jaafar menegaskan, tiada hak eksklusif dilesenkan kepada mana-mana Premis Yang Ditetapkan Buangan Terjadual (PYDT BT) oleh pihaknya bagi mengendalikan bahan buangan terjadual di negara ini.

Menurut beliau, jabatan itu melesenkan Kemudahan Pemerolehan Kembali, Pengolahan dan Pelupusan Terjadual di seluruh negara yang melibatkan 406 kemudahan (PYDT BT) dan 343 pengangkut setakat ini.

“Ia bagi memastikan pengurusan buangan terjadual adalah berkesan dan memenuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

“Semua industri dan punca yang menghasilkan buangan terjadual hendaklah menguruskan buangan berkenaan dengan sempurna dari segi notifikasi, maklumat ciri buangan, penstoran, pelabelan, inventori dan maklumat pergerakan buangan terjadual,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tular dalam media sosial sejak mengenai dakwaan kerajaan memberi hak eksklusif kepada beberapa syarikat untuk mengumpul sisa terjadual dan syarikat terlibat mengenakan bayaran tinggi terhadap premis yang ingin mendapat perkhidmatan tersebut.

Norlin menambah, pengurusan buangan perlu direkodkan melalui sistem dalam talian iaitu Sistem Maklumat Elektronik Buangan Terjadual atau eSWIS, selaras dengan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Beliau memberitahu, JAS tidak terlibat dalam sebarang penetapan kos dan bayaran yang dikenakan ke atas pengeluar buangan adalah ditetapkan oleh PYDT BT yang dilesenkan.

“Hak eksklusif yang pernah diberikan kerajaan adalah bagi operasi ‘Centralized Integrated Scheduled Waste Management Centre’ kepada Kualiti Alam Sdn Bhd selama 15 tahun bermula 1 Mac 2000 dan tamat pada 28 Februari 2015.

“Kerajaan bercadang untuk membina lima kemudahan pengurusan sisa bersepadu di Johor, Perak, Terengganu, Sabah dan Pulau Pinang bagi memastikan sisa buangan berjadual dapat diurus dengan lebih baik dan sempurna,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.