SPRM sahkan siasatan akan dibuat isu tanah Perak

154

7 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan akan dibuat terhadap laporan oleh pemimpin Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) berhubung isu pemberian tanah di Perak.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya memaklumkan aduan itu susulan tersebar surat bertajuk ‘surat karam’ di media sosial baru-baru ini.

“SPRM telah menerima aduan daripada Putra di Ipoh hari ini berhubung isu skandal tanah di Perak susulan tersebar surat bertajuk ‘surat karam’ di media sosial baru-baru ini.

“SPRM mengesahkan bahawa satu siasatan akan dijalankan terhadap aduan ini dan berharap semua pihak untuk tidak mengulas lanjut serta memberikan ruang bagi siasatan dijalankan secara telus dan profesional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau sedia memberi kerjasama dalam siasatan SPRM ke atas dakwaan pemberian ribuan hektar tanah oleh kerajaan negeri Perak kepada syarikat swasta.

Ahmad Faizal dalam kenyataan hari ini berkata, kerjasama yang diberi bertepatan dengan prinsip pentadbiran kerajaan negeri Perak yang sentiasa menekankan kepada kedaulatan undang-undang.

“Saya mengambil maklum mengenai laporan yang dibuat Datuk Hamidah Osman bagi pihak Putra kepada SPRM pagi tadi, berhubung beberapa dakwaan yang terkandung dalam surat layang yang tersebar di media sosial baru-baru ini.

“Saya secara peribadi sentiasa bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak SPRM dalam menjalankan siasatan ke atas laporan terbabit,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.