Selangor tidak pernah rujuk kertas siasatan – AG

277

7 SEPT: Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menyangkal tuduhan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mendakwa tiada tindakan lanjut dibuat Jabatan Peguam Negara selepas kerajaan negeri selesai menyiasat kes pencemaran air pada April lalu oleh kilang sama yang menyebabkan pencemaran terbaru.

Idrus berkata, sebaliknya kerajaan negeri tidak pernah pun merujuk kepada Jabatan Peguam Negara apa-apa kertas siasatan berhubung insiden pencemaran sumber air seperti didakwa.

“Oleh yang demikian penyataan Menteri Besar Selangor seperti yang dilaporkan sebuah portal berita hari ini bahawa tiada apa-apa tindakan diambil oleh Jabatan Peguam Negara berkenaan pencemaran pada bulan April lalu adalah tidak benar bahkan tidak berasas sama sekali,” katanya dalam kenyataan akhar hari ini.

Tegas Idrus, kompaun RM60,000 yang dikeluarkan ke atas pihak yang terlibat dengan pencemaran air sehingga Loji Rawatan Air Sungai Selangor terpaksa dihenti tugas pada 17 Mac lalu itu juga tidak pernah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

“Lanjutan itu, siasatan bersepadu bersama oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Majlis Perbandaran Selayang dan Exco Alam Sekitar Selangor dijalankan berikutan aduan yang menyebabkan penutupan loji tersebut.

“Pihak JAS Selangor mengeluarkan 30 tawaran kompaun di lapangan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM60,000 kepada pemilik premis Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd di Lot 4219, Jalan Batu Arang, Kampung Sungai Dua, Rawang.

“Kompaun itu dikeluarkan tanpa apa-apa rujukan kertas siasatan dibuat kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Idrus berkata, dalam insiden terbaru, Jabatan Peguam Negara juga hanya dimaklumkan bahawa terdapat kertas siasatan yang dibuka oleh agensi yang berkaitan dan kertas siasatan itu sedang dilengkapkan sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.

Sebuah portal berita melaporkan Amirudin mendakwa tiada tindakan diambil oleh peguam negara selepas kerajaan negeri selesai siasatan kes pencemaran air pada April.

Amirudin memaklumkan hal itu kepada pemberita ketika menjelaskan bidang kuasa kerajaan negeri yang terhad berbanding kerajaan persekutuan dalam hal menghukum pencemar air.

Insiden itu mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan jutaan pengguna di beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. – Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.