Peruntukan RM362.8 juta bantu usahawan mikro

54

7 SEPT: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyediakan peruntukan sebanyak RM362.8 juta bagi membantu usahawan mikro dan koperasi yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, peruntukan tersebut merangkumi 29 program dengan 18 program baharu dan 11 program sedia ada.

“Ini sejajar dengan sokongan kementerian dalam ekosistem keusahawanan negara bagi memulih operasi perniagaan terjejas dan seterusnya memastikan usahawan tempatan dan koperasi terus kekal berdaya saing dan mampan.

“Usaha yang dilaksanakan ini adalah sejajar dengan dasar kerajaan bagi memastikan rakyat khususnya golongan usahawan mikro, sektor koperasi khususnya dari golongan B40 sentiasa mendapat sokongan kementerian dan dapat kembali beroperasi seperti biasa,” katanya ketika melancarkan Malakat Mall di Cyberjaya, semalam.

Sementara itu, beliau berpandangan, pusat beli-belah seperti Malakat Mall berupaya menjadi platform bagi membantu usahawan bumiputera dan koperasi memperkenal dan mengetengahkan produk-produk berkualiti mereka kepada umum.

“Kementerian sentiasa memberikan sokongan kepada usaha seumpama ini kerana saya amat memahami akan kepayahan dan kesukaran kepada usahawan mikro dan juga koperasi memasarkan produk-produk keluaran mereka dalam pasar raya besar.

“Kekurangan kemampuan menyebabkan usahawan mikro terlepas peluang menembusi pasar raya besar dan produk mereka hanya dapat dibeli menerusi penjaja kecil,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.