Penguatkuasaan Akta 446 tidak boleh tangguh

156

7 SEPT: Kementerian Sumber Manusia tidak akan menangguhkan penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) (Pindaan) 2019 walaupun terdapat permintaan untuk berbuat demikian oleh pihak majikan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, penguatkuasaan Akta 446 (Pindaan) 2019 yang bermula pada 1 September 2020 bukanlah dilakukan secara terburu-buru.

Malah, menurut beliau, sebelum penguatkuasaan dilaksanakan, hebahan berhubung tarikh penguatkuasaan telah dibuat secara meluas sejak Mei lalu.

“Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) telah dipinda kepada Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan Dewan Negara pada 31 Julai 2019.

“Akta ini telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 18 September 2019 serta diwartakan pada 23 September 2019,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Saravanan mengulas tentang kenyataan ini sebagai maklum balas kepada permintaan pihak persatuan majikan Malaysia untuk menangguh penguatkuasaan akta tersebut yang dibuat melalui Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM).

Beliau menambah, Akta 446 dan peraturan-peraturan di bawahnya telah diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia dan menetapkan penguatkuasaan mulai dari 1 Jun 2020.

“Kerajaan telah bersetuju untuk memberi tempoh kelonggaran selama tiga bulan sehingga 31 Ogos dan penguatkuasaan sepenuhnya pada 1 September 2020,” jelasnya.

Saravanan memberitahu, kementerian tidak akan menangguhkan lagi penguatkuasaan akta tersebut dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia akan terus melakukan pemeriksaan ke atas syarikat-syarikat yang telah membuat permohonan perakuan dalam talian melalui Sistem Permohonan Perakuan Penginapan yang boleh dilayari di laman sesawang http://akta446.mohr.gov.my .

“Saya menggesa pihak persatuan agar sama-sama memastikan bahawa syarikat-syarikat di bawah persatuan mereka untuk membuat permohonan perakuan ini dan sentiasa berhubung dengan para pegawai kami sama ada di ibu pejabat mahupun Jabatan Tenaga Kerja negeri bagi sebarang makluman sepanjang proses permohonan perakuan tersebut.

Para pegawai JTKSM Ibu Pejabat dan negeri telah disiapsiagakan dalam memberikan khidmat panduan dan khidmat nasihat berhubung proses permohonan perakuan ini,” katanya.

Selain itu, soalan-soalan lazim turut boleh dimuat turun oleh para majikan dalam laman sesawang jtksm.mohr.gov.my. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.