MAHB catat pemulihan jumlah penumpang

44

7 SEPT: Aliran trafik penumpang di lapangan terbang kendalian Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) kini dalam keadaan pemulihan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pergerakan trafik pada Julai dan Ogos adalah sekitar 1.3 juta orang manakala pada Jun 2020 hanyalah 430,000.

“Walaupun ini merupakan satu petunjuk yang baik namun kita masih memerlukan lebih banyak masa untuk melihat angka-angka kembali ke paras sebelum penularan COVID-19.

“Di peringkat antarabangsa, IATA meramalkan penerbangan jarak dekat hanya akan pulih pada 2023 manakala penerbangan jarak jauh tidak akan pulih sehingga 2024,” katanya semasa menyampaikan ucapan pelancaran platform e-dagangan MAHB, shopMYairports hari ini.

Tambahnya, terdapat banyak sebab yang diambil kira dalam unjuran berkenaan namun pembendungan wabak COVID-19 yang lemah di negara-negara maju serta membangun, penurunan perjalanan korporat dan keyakinan pengguna yang lemah menyumbang ke arah kelembapan trafik penumpang udara.

Dalam pada itu, dalam sidang media selepas itu, Ka Siong memberitahu, jumlah penumpang antarabangsa semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 1 bermula 18 Mac lalu adalah kira-kira dua peratus sahaja manakala penumpang domestik sekitar tiga peratus.

“Angka tersebut meningkat secara purata 42 peratus di semua 39 lapangan terbang kendalian MAHB,” katanya.

Sementara itu, MAHB melancarkan platform e-dagang khas untuk peruncit di lapangan terbang dikenali sebagai ‘shopMYairport’ dalam memberi peluang kepada rakan-rakan peruncit untuk mengembangkan pasaran, sekali gus membantu memulihkan semula perniagaan akibat impak COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus jualan di lapangan terbang dibuat melalui shopMYairports dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Platform e-dagang dilihat sebagai inisiatif yang lebih lestari dalam memberikan bantuan yang sangat diperlukan kepada rakan niaga kerana mereka menghadapi cabaran susulan COVID-19.

“Ini antara program bantuan lain yang disediakan oleh Malaysia Airports untuk membantu para peruncit di lapangan terbang.

“Sebelum ini (MAHB) telah menangguhkan pembayaran sewa, melanjutkan tempoh kredit sehingga 120 hari, melanjutkan tempoh kontrak yang baharu ditandatangani dan mengatur penjualan di seluruh lapangan terbang untuk membantu melicinkan inventori,” katanya

Get real time updates directly on you device, subscribe now.