Golongan bukan bumiputera tak dipinggir – Muhyiddin

111

7 SEPT: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan meminggirkan golongan bukan bumiputera walaupun kerajaan menitikberatkan soal pembangunan sosioekonomi bumiputera menerusi penubuhan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sudah melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama bagi mengambil kira pembangunan dan kedudukan sosioekonomi semua kaum lain.

“Walau bagaimanapun, kaum bumiputera ini adalah mewakili sebahagian besar rakyat Malaysia iaitu 70 peratus terdiri daripada kaum bumiputera dan pribumi di Sabah serta Sarawak.

“Sebab itulah kerajaan perlu membantu golongan ini bagi membangunkan sosioekonomi negara secara keseluruhan namun jika ada yang kita perlu bantu di sektor bukan bumiputera maka kerajaan tidak akan mengabaikannya misalnya soal kemiskinan.

“Kita tidak boleh biarkan sahaja mereka terus kekal di bawah paras kemiskinan kerana bukan dari kaum Melayu atau bumiputera. Saya kena bantu orang Melayu/bumiputera sahaja menjadi kaya itu tidak betul,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris mengenai inisiatif kerajaan dalam mengatasi masalah kemiskinan di negeri seperti Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Muhyiddin menambah, kerajaan juga melaksanakan program pembasmian kemiskinan di negara ini dilakukan bukan sahaja mengambil kira soal kaum dan bangsa, tetapi juga fakta-fakta lain dalam usaha mewujudkan peluang yang adil dan saksama kepada semua rakyat bagi memastikan kekayaan negara dapat diagih dan dinikmati secara bersama.

“Dasar kerajaan PN adalah untuk melaksanakan program pembasmian kemiskinan secara menyeluruh dan ini mengambil kira perbezaan bumiputera dan bukan bumiputera, wilayah dan bukan wilayah termasuk di Sabah dan Sarawak dengan pelbagai inisiatif yang dilakukan pada masa lepas,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.